KPM perinci cadangan kos elaun sara hidup pelajar Tingkatan Enam

Iklan
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek bercakap pada sidang media Majlis Perasmian Daurah Hadis 40 Imam Nawawi Kementerian Pendidikan Malaysia peringkat Kebangsaan Tahun 2024 yang diadakan selama tiga hari bermula Selasa. Foto Bernama

KANGAR - Kementerian Pendidikan (KPM) sedang memperincikan cadangan kos elaun sara hidup pelajar Tingkatan Enam dan hal itu susulan hasil daripada komitmen di peringkat kementerian tersebut dan kerajaan Malaysia.

Menurut Menterinya, Fadhlina Sidek, perkara itu juga sebagai salah satu langkah dalam menjenamakan semula sistem pendidikan Sijil Tinggi Pendidikan Malaysia (STPM).

Iklan
Iklan

Menurutnya, cadangan berkenaan juga perlu dibawa ke peringkat belanjawan dan juga Kementerian Kewangan terlebih dahulu.

"Jadi antara inisiatif yang kita nak bagi tumpuan kepada mereka ini adalah melihat bagaimana sudut elaun mereka, peranan-peranan yang dimainkan peringkat kolej Tingkatan Enam dan juga peranan yang lebih besar untuk melihat bahawa peluang pendidikan ini untuk pelajar Tingkatan Enam ini diperluaskan dan dipertingkatkan kualitinya.

Iklan

"Kita sangat yakin bahawa pelajar-pelajar Tingkatan Enam kita ini mempunyai potensi yang sangat baik dan juga menjadi salah satu daripada akses pendidikan di Malaysia," katanya pada sidang akhbar selepas hadir Program Daurah Hadis Imam Nawawi anjuran KPM peringkat kebangsaan di sebuah hotel, di sini pada petang Selasa.

Terdahulu, media melaporkan KPM sedang mempertimbangkan penyediaan elaun kos sara hidup pelajar Tingkatan Enam sebagai sebahagian usaha menarik lebih ramai pelajar menyertai program itu.

Iklan

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, turut dipertimbangkan KPM juga elaun untuk guru penolong kanan Tingkatan Enam dan bantuan geran per kapita lebih tinggi bagi mata pelajaran Sijil Tinggi Pendidikan Malaysia (STPM).

Beliau berkata demikian menjawab soalan Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.

Dalam perkembangan sama, Fadhlina berkata, sambutan yang ditunjukkan oleh pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam juga dilihat memberangsangkan.

Menurutnya, pengurusan sekolah juga turut diberikan autonomi untuk memilih atau menawarkan tawaran kepada pelajar-pelajar yang difikirkan layak.

"Kita melihat peningkatan itu akan berlaku dengan lebih banyak dengan adanya kuasa autonomi oleh pengetua untuk mengambil pelajar-pelajar yang mereka rasakan layak dan sesuai serta berminat (melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam)," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!