MAJLIS Sukan Negara (MSN) terbuka menerima kesediaan negeri-negeri untuk menjadi tuan rumah bersama Sukan SEA 2027 yang berbaki tiga tahun lagi.
Ketua Pengarahnya, Abdul Rashid Yaakub berkata, pihaknya masih menunggu maklum balas kemungkinan ada keinginan untuk bersama menjayakan temasya dwitahunan itu.
Beliau berkata, kesemua maklum balas tersebut akan dibawa kepada Kementerian Belia dan Sukan untuk dipertimbangkan oleh Jemaah Menteri.
"Kita buka peluang ini kepada semua negeri. Sepatutnya minggu lepas tarikh akhir dan paling lewat minggu ini, namun masih ada lagi yang memberi maklum balas dan kita masih buka.
"Kita kumpul semua maklumat daripada segi kos, jenis sukan dan di mana akan diadakan. Jadi semua perincian ini kita sedang sediakan dan akan diangkat ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk persetujuan (jadi tuan rumah)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoA) antara MSN dan pengeluar air mineral beroksigen, Bubbles O2 di Bukit Jalil pada Selasa.
Majlis dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan turut hadir Pengerusi Eksekutif Bubbles O2, Arifin Marzuki.
Dalam pada itu, Abdul Rashid menjelaskan penyediaan maklumat tersebut sudah berada di fasa akhir dan akan dikemaskini apabila memperoleh maklumat terbaharu dari negeri-negeri yang berminat.
"Sebenarnya banyak yang sudah disediakan. Cuma perlu touch up kira-kira 10 ke 20 peratus lagi.
"Kita akan lihat dulu bagaimana sambutan daripada negeri-negeri ini. Kalau sambutan itu terlalu luas, kita tengok sama ada sambutan luas itu perlu luas atau perlu diperkecilkan.
"Jadi perkara ini perlu dibincang dan diletak dalam satu perincian yang betul supaya dapat dipertimbangkan oleh Jemaah Menteri," katanya.
Sebagai rekod Sarawak sudah menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah, manakala Pulau Pinang juga dilaporkan berminat.
Sabah pula turut meluahkan hasrat yang sama.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!