Pagar balai polis tidak ditutup sepenuhnya, rakyat masih boleh buat laporan - KDN

Iklan
KDN tampil membuat penjelasan bahawa penutupan pagar setiap balai polis selepas jam 10 malam tidak akan dilakukan sepenuhnya tetapi hanya untuk langkah kawalan.

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kementerian Dalam Negeri tampil memberi penjelasan berhubung kenyataan terdahulu mengenai pintu pagar balai polis ditutup selepas jam 10 malam bagi tujuan memperketatkan keselamatan di premis berkenaan.

Menurut kenyataan KDN, ia bukan ditutup sepenuhnya tetapi hanya untuk langkah kawalan dan orang ramai masih boleh hadir untuk membuat laporan polis selain tiada halangan untuk berbuat demikian.

Iklan
Iklan

"Tentunya tidak munasabah apabila kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ditafsir sebagai 'tutup pagar' secara keseluruhan sedangkan pihak polis bertanggungjawab untuk mengawal keselamatan dan ketenteraman awam.

"Kenyataan beliau secara prinsipnya merujuk garis panduan dan langkah berjaga-jaga bagi balai yang berada dalam kategori berisiko terhadap ancaman," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, pintu pagar balai polis di seluruh negara akan ditutup selepas jam 10 malam sebagai langkah untuk memperketatkan keselamatan di premis berkenaan susulan insiden di Balai Polis Ulu Tiram, Johor baru-baru ini.

Menurut Saifuddin, langkah itu diambil sebagai mengimbangi keperluan untuk masyarakat dan menjaga keselamatan anggota yang bertugas.

Iklan

Mengulas lanjut kenyataan itu berkata, pihak media digesa untuk memperbaiki laporan berita yang dikeluarkan dan tidak menjurus kepada maksud sebenar daripada ucapan Saifuddin di Dewan Rakyat.

Ujarnya, kesilapan laporan berita menimbulkan salah faham orang ramai terhadap Menteri KDN termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ia perlu diperbetulkan dengan segera.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!