SHAH ALAM - Keputusan Mahkamah Rayuan telah menyebelahi CTOS Data Systems Sdn Bhd (CTOS) kerana plaintif gagal mengemukakan bukti kes fitnah, kecuaian atau pelanggaran tugas statutori terhadap mereka.
Keputusan itu telah mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini memutuskan CTOS tidak mempunyai kuasa undang-undang untuk merumuskan skor kredit.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Digitalnya, Erick Hamburger berkata, kejayaan tersebut adalah langkah penting bagi memperkasa pengguna dalam menyediakan kemudahan untuk membuat keputusan kewangan yang bijak.
"Keputusan positif ini amat menggembirakan dan kami akan terus memperkukuh tahap pengurusan risiko kredit, memudahkan keterangkuman kewangan dan tanggungjawab peminjam serta pemberi pinjaman untuk mengelakkan beban hutang berlebihan rakyat Malaysia.
"CTOS tetap teguh dalam memastikan standard tertinggi ketepatan dan integriti, menggalakkan ketelusan, memperkasakan individu dan perniagaan serta mengutamakan keselamatan dan kebolehpercayaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, CTOS telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan syarikat itu membayar RM200,000 kepada pengarah resort kerana penarafan kredit yang tidak tepat.
Hakim Mahkamah Tinggi dalam penghakimannya memutuskan bahawa CTOS telah melanggar kewajipan penjagaan yang sepatutnya kepada plaintif, Suriati Mohd Yusof, 43, serta melangkaui fungsi asal ia didaftarkan di bawah Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010 (CRAA).
Mengulas lanjut, menurut Erick, mereka akan terus menyediakan perkhidmatan cemerlang selaras dengan teras syarikat dalam memastikan kredibiliti, ketelusan, peluang dan kestabilan terus menjadi tonggak utama.
Tambah beliau, CTOS akan terus mempromosi kesihatan kewangan kepada rakyat Malaysia.
"Dedikasi CTOS kepada prinsip-prinsip ini akan terus memacu setiap usaha syarikat untuk memastikan keperluan pelanggan dan pihak berkepentingan sentiasa dipenuhi,” katanya.