APABILA Malaysia disenaraikan tempat kedua terburuk dunia dari 60 buah negara dalam keseimbangan kehidupan bekerja, ramai yang mengakuinya diam-diam.
Kajian daripada Remote, sebuah syarikat perkhidmatan sumber manusia global baru-baru ini mungkin ada kebenarannya.
Pensyarah Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Sharifah Nur Syahidah Syed Annuar sebagaimana dilaporkan Sinar Harian pada 30 Jun lalu menjelaskan, ada beberapa faktor menyebabkan pekerja terpaksa mengutamakan pekerjaan berbanding kehidupan peribadi masing-masing.
Antaranya termasuklah jam bekerja terlalu panjang, peningkatan kos sara hidup, jangkaan petunjuk prestasi sangat tinggi, kesesakan trafik saban hari, sistem kerja tidak fleksibel dan terdapat majikan yang menghubungi pekerja menerusi aplikasi WhatsApp biarpun sudah tamat waktu bekerja.
Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2021 mendedahkan, kerja secara berlebihan membunuh lebih daripada 745,000 orang setahun menerusi penyakit strok dan serangan jantung.
Memetik laman web Forbes, Korea Selatan yang dahulunya terkenal dengan tempoh berjam-jam kerja hingga dianggap sebagai satu ‘lencana penghormatan’ pernah mencatatkan 500 kes bunuh diri setahun. Akhirnya negara berkenaan mengambil langkah undang-undang yang mengehadkan bekerja kepada 52 jam seminggu
Kita tidak mahu insiden menimpa Matsuri Takahashi di Jepun berulang kembali. Wanita itu dilaporkan maut selepas terjatuh dari pangsapurinya di tingkat empat di Tokyo pada 2016 ekoran tekanan dihadapi akibat terpaksa kerap bekerja lebih masa.
Dari sudut lain pula, mementingkan kerja hingga tidak cukup tidur memberi impak buruk. Pendek kata, badan kita sebenarnya perlukan rehat. Kita mahu ‘pakai’ lama tubuh kurniaan Ilahi ini, bukannya sehari dua.
Mahu atau tidak, usah pandang remeh terhadap tubuh pinjaman Tuhan untuk dijaga sebaik-baiknya.
Rasulullah SAW bersabda:"Sesungguhnya untuk Tuhanmu itu ada hak ke atas dirimu, untuk dirimu sendiri juga ada ke hak atasmu, untuk keluargamu pun ada ke hak atasmu. Maka berikanlah kepada setiap yang berhak itu akan haknya masingmasing.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Melihat ungkapan hadis itu, jelaslah bahawa badan kita juga ada haknya yang perlu ditunaikan, selain terhadap ALLAH SWT dan keluarga.
Menunaikan hak tubuh itu bermaksud menikmati tahap upaya badan yang benar-benar baik dan selamat dari sudut fizikal, mental, emosi dan rohani secara optimum hingga berupaya mencapai potensi serta matlamat kehidupan yang didasari oleh panduan agama.
Dalam kitab Manba’ussa’adah, terdapat tiga hak badan yang mesti dilunaskan dengan sempurna. Ia termasuklah hak untuk mengambil makanan berkhasiat yang halal lagi baik, berehat secukupnya dan menyatakan keinginan seksual dengan cara halal serta sesuai.
Setiap inci tubuh ciptaan ALLAH SWT itu tidak wajar untuk disia-siakan. Tunaikanlah hak yang sepatutnya untuk badan kurniaan-NYA.
Jika sakit, berjumpalah doktor untuk mendapatkan rawatan sebagai ikhtiar dan sembuh dengan keizinan-NYA. Andai kelelahan, beristirahatlah untuk menghilangkan keletihan. Usah sesekali mengabaikan hak yang berhak.
Nampak remeh, tetapi sebenarnya ia sangat penting kerana apabila kita ‘terganggu’, ibadah kita kepada Sang Pencipta turut terkena tempiasnya kerana itu tujuan manusia diciptakan.
Masih belum terlambat untuk kita jaga diri baik-baik. Siapa lagi yang akan menjaga diri kalau bukan kita sendiri, bukan?
Namun, adakah kita mempunyai pilihan untuk menyelesaikan masalah keseimbangan kehidupan bekerja yang tersasar? Justeru, majikan perlu turut sama memainkan peranan dan bertimbang rasa bagi mengawal keseimbangan itu.
Ingatlah, kualiti kerja datang daripada badan yang sihat. Masa berkualiti menjadikan kerja lebih efektif berbanding terus ‘ditarah’ keringat, akhirnya hasil tugasan hanya sambil lewa.
* Nurulfatiha Muah ialah Penolong Editor Sinar Islam Plus
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!