SHAH ALAM - Mangsa kejadian buli siber oleh pengguna media sosial yang tidak bertanggungjawab mengakui berdepan dengan masalah kemurungan.
Peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Fatimah, 42, berkata, dia pernah menjadi mangsa buli siber individu yang dikenali tetapi menggunakan akaun palsu untuk menyebarkan aibnya.
Menurutnya, kejadian berlaku lima tahun lalu, ketika dia mengenali seseorang dan sering berhubung serta berkongsi gambar harian.
"Bagaimanapun, perkenalan itu tidak berakhir dengan perkahwinan sebaliknya perpisahan. Dia tidak boleh terima kenyataan yang kami tiada jodoh.
"Disebabkan itu, dia menyebarkan gambar-gambar saya di laman sosial, TikTok dengan menggunakan akaun palsu dan mengatakan bahawa saya mengakhiri hubungan itu kerana orang ketiga,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Jelas Fatimah, kejadian itu mengakibatkan dia diserang dengan pelbagai kata hinaan oleh pengguna media sosial.
"Ketika saya berkongsi gambar dengan lelaki berkenaan, saya belum mengenakan hijab sepenuhnya. Bagaimanapun, selepas berpisah saya terus mengenakan hijab.
"Apabila dia memuat naik gambar saya tidak bertudung, saya amat kecewa dan malu dengan diri sendiri,” kongsinya.
Kesan daripada perbuatan lelaki itu, Fatimah berkata, dalam tempoh enam bulan dia kemurungan sehinggakan tidak mahu berjumpa dengan orang ramai.
Sementara itu, seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Aulia Amira, 26, berkata, dia turut mengalami nasib sama apabila sekumpulan pelajar sekolah membuat satu akaun palsu untuk membulinya.
"Kejadian 13 tahun lalu, saya seorang pelajar aktif di sekolah dan sering melibatkan diri dalam pertandingan pidato, syarahan, sajak dan sebagainya.
"Saya bergiat aktif kerana mahu kumpul sijil kokurikulum dan membina keyakinan diri, namun perkara yang saya lakukan ini tidak disukai rakan sekelas,” ceritanya.
Tambah Aulia Amira, rakan sekelas telah mewujudkan satu kumpulan di laman sosial Facebook untuk mengutuk penampilannya.
Menurutnya, dia begitu tertekan dengan hantaran-hantaran di Facebook itu kerana mereka menyentuh hal fizikal dan peribadi.
"Pada mulanya, saya tidak tahu kumpulan itu diwujudkan oleh rakan sekelas kerana mereka menggunakan akaun palsu, namun setelah saya lihat senarai yang menyukai kumpulan tersebut terdiri dalam kalangan kenalan rapat.
"Saya kecewa, tidak sangka mereka yang pada ketika itu Tingkatan Satu sanggup melakukan buli siber terhadap saya. Disebabkan hal itu, saya tidak mahu ke sekolah, takut ke sekolah,” ujarnya.
Jelas wanita berkenaan, dia takut ke sekolah kerana pembuli siber itu mengugut untuk mencederakannya jika mendedahkan identiti kepada guru.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!