Peniaga durian jangan temberang sana sini

Iklan
Perbuatan peniaga tidak jujur membuatkan penggemar durian berasa kecewa. Gambar hiasan

SETIAP kali musim durian, ada saja aduan atau ketidakpuasan hati pelanggan mengenai tindakan peniaga yang dikatakan mengambil kesempatan.

Ada yang meletakkan harga terlalu tinggi, tidak kurang juga menjual durian rosak serta tidak berkualiti.

Iklan
Iklan

Apa pun, isu paling menjengkelkan pelanggan, termasuk Merak Jalanan sendiri berkaitan taktik jualan atau pemasaran tidak jujur, khususnya membabitkan tanda harga.

Banyak kali juga Merak Jalanan serta ramai lagi pelanggan tertipu dengan tanda harga mengelirukan dipamerkan segelintir peniaga durian tepi jalan.

Iklan

Rakan sepejabat Merak Jalanan memberitahu dirinya juga kerap tertipu dengan taktik sebegitu.

Menurut beliau, biasanya dia tidak meneruskan hasrat membeli, namun ada juga rakan yang ‘pejam mata’ beli durian mahal kerana sudah bersusah payah mencari tempat meletakkan kenderaan untuk ke gerai tersebut.

Iklan

Perbuatan peniaga tidak jujur itu jelas tidak bertanggungjawab. Menyedihkan bukan sahaja pelanggan tertipu, malah peniaga durian yang jujur juga terkena tempias apabila turut dilabel sama seperti mereka.

Kesannya, pelanggan enggan singgah di gerai walaupun melihat tawaran harga murah yang betul kerana menganggap ia juga menipu.

Dalam isu ini, masyarakat perlu tahu ada cara memastikan hak sebagai pengguna tidak dipermainkan sewenang-wenangnya oleh peniaga tidak jujur sebegini.

Andai ada kesalahan dikesan berkaitan tanda harga mencurigakan, jangan ragu-ragu membuat aduan kerana pelbagai saluran disediakan, khususnya oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Dengan aduan dilakukan, sekurang-kurangnya peniaga tidak jujur itu sedar mereka tidak selamanya ‘selamat’ kerana ramai pengguna bijak luar sana ada untuk memerhatikan mereka.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!