Promosi kembali kebaya setengah tiang

Iklan
Alias menunjukkan cara pemakaian kebaya setengah tiang yang betul.

SEREMBAN - Keunikan Negeri Sembilan terletak pada adat perpatihnya yang diamalkan sejak dahulu lagi.

Malah keunikan di negeri adat perpatih ini turut ada pada busananya yang disebut kebaya setengah tiang yang merupakan salah satu identiti negeri ini.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, selari dengan peredaran zaman, baju tersebut kini semakin dilupakan dan mungkin kebanyakan generasi muda hari ini tidak mengetahui tentangnya.

Persatuan Penggiat Busana Tradisional Negeri Sembilan kini giat mempromosikannya bagi mengangkat kembali pemakaian busana berkenaan di negeri ini.

Iklan

Pengerusinya, Alias Zakaria berkata, pihaknya juga mengambil inisiatif menganjurkan bengkel jahitan khusus bagi membuat pakaian berkenaan dengan kerjasama GiatMARA dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

"Ia mendapat sambutan yang menggalakkan dan kalau boleh kita nak kebaya separuh tiang ini dipopularkan kembali di negeri ini dan menjadi pakaian kebiasaan.

Iklan

"Ia ditambah pula kerajaan Negeri Sembilan telah mendaftarkannya sebagai harta intelek dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia pada November tahun lalu," katanya ditemui Sinar Harian di rumahnya di sini pada Isnin.

Menurutnya, adalah penting untuk mengangkat kembali busana berkenaan kerana ia adalah peninggalan sejarah dan merupakan warisan jati diri Negeri Sembilan.

Jelasnya, berdasarkan kajian yang dilakukannya, pakaian tersebut telah wujud pada tahun 1930-an lagi.

Alias menunjukkan kebaya setengah tiang yang merupakan salah satu identiti Negeri Sembilan.

"Ia bukan saja digayakan oleh wanita kerabat diraja, tetapi juga rakyat biasa di Negeri Sembilan dan sering digayakan dalam majlis keramaian seperti menghadiri majlis kenduri atau berendoi.

"Kita panggilnya kebaya setengah tiang kerana ia dibuat atas pada lutut dan bawah dari punggung," katanya.

Bercerita lanjut berkenaan baju terbabit, Alias berkata, pola potongan lengannya adalah kembang di hujung dan potongan bahagian bawah bajunya pula lurus manakala bahagian depan baju berlidah seperti kebaya panjang.

Tambahnya, baju itu juga mempunyai belah potong sembilan dan kebiasaanya menggunakan kain broked, songket tenun dan kain kasa.

"Ia akan dipadankan dengan penggunaan kain batik sarung dan cara ikatanya adalah ikatan tindih kasih iaitu lipatan kain mengarah dari kanan ke kiri.

"Wanita yang menggayakan baju ini selalunya akan menggunakan kerongsang, dokoh dan rantai labuh untuk menaikkan seri pakaian tersebut," katanya.

Ujarnya lagi, ia juga biasanya dipakai dengan aksesori kepala yang di panggil telepok.

Sementara itu katanya, golongan muda kemungkinan kurang gemar dengan fesyen kebaya berkenaan, namun dengan daya kreativiti tukang jahit, ia boleh dimodenkan.

"Tapi jangan pula kita hilangkan identiti pakaian itu dan bagi saya kebaya setengah tiang ini juga mencerminkan wanita Islam kerana ia sopan dan longgar.

"Sebab itulah persatuan kami sedang giat mempromosikan kembali kebaya setengah tiang ini dan turut mengambil tempahan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!