KOTA BHARU - Pas berpendapat Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 perlu dikaji lebih mendalam.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ia berikutan terdapat berpuluh-puluh mazhab dalam Islam.
"RUU itu kena kaji secara mendalam sebab dalam Islam mazhabnya banyak, berpuluh-puluh dan luasnya ilmu Islam.
"Pandangan saya, semua ulama mazhab itu tak membenarkan mazhab mereka diisytiharkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Persidangan Antarabangsa Kelantan Membangun Bersama Islam 2024 (Kelmic ‘24), di sebuah hotel di sini pada Selasa.
Jelas Abdul Hadi, imam-imam yang juga pengasas empat mazhab fiqah terbesar dalam Islam tidak membenarkan mazhab masing-masing diisytiharkan sebagai mazhab negara.
"Imam Malik, Syafie atau Hambali tak benar mazhab masing-masing diisytiharkan sebagai mazhab negara. Sebaliknya mereka suruh Islam sahaja yang menjadi agama negara,” kata beliau.
Media sebelum ini melaporkan, RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Rabu lepas, antara lain untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan mufti, penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak serta perkara yang berkaitan.
Menurut naskhah biru yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, rang undang-undang itu antara lain memperincikan fungsi dan peranan mufti dalam membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara hukum syarak, tata cara mengeluarkan fatwa, pendapat berhubung hukum syarak di mahkamah serta penentuan arah kiblat.
Menerusi rang undang-undang itu, ia juga memperincikan mengenai penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam dengan dipengerusikan mufti.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!