Peranan, capaian NADI diperluas

Iklan
Anwar (empat dari kiri) menyempurnakan gimik perasmian Perkhidmatan Pintar NADI Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 2 pada Isnin.

IPOH - Peranan dan capaian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) akan diperluas kepada semua peringkat komuniti di seluruh negara, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, program rintis itu akan digerakkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersama Jabatan Penerangan (JaPen) menerusi Komuniti Madani di kawasan masingmasing. Menurutnya, melalui pembaharuan itu, semua program yang dirangka semula untuk NADI dapat dimanfaatkan bukan hanya komuniti satu-satu kawasan tetapi merangkumi semua kampung.

Iklan
Iklan

"Kita tahu, sesetengah DUN (Dewan Undangan Negeri) itu kawasannya besar, tetapi hanya terdapat kemudahan satu NADI sahaja.

"Kalau boleh kita tidak mahu manfaatnya dinikmati komuniti terdekat sahaja, sebab itu untuk ke hadapan, kita akan bekerjasama dengan JaPen melalui Komuniti Madani.

Iklan

"Setiap DUN akan ada tiga Komuniti Madani, jadi kita mahu komuniti-komuniti Madani ini mengenali NADI di kawasan mereka, kemudian mengambil modulmodul daripada NADI untuk dibawa keluar, itulah caranya nanti," katanya kepada pemberita sempena pelancaran Perkhidmatan Pintar NADI Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 2, di sini pada Isnin.

Anwar (tengah) menandatangani plak perasmian NADI Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 2.

Iklan

Pelancaran tersebut disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hadir sama, Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi dan Pengerusi SKMM, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din. Fahmi berkata, pembangunan NADI yang dijenamakan semula daripada Pusat Ekonomi Digital (PEDi) itu bukan sekadar menyediakan perkhidmatan jaringan internet yang pantas.

Katanya, NADI turut menyediakan beberapa modul, latihan serta kelas-kelas program seperti kecerdasan buatan (AI) untuk komuniti setempat yang ingin mengetahuinya secara lebih mendalam.

"Kemudahan e-Perubatan juga disediakan yang mana dengan kelajuan internet yang ada, warga setempat boleh datang membuat saringan kesihatan asas selain mendapatkan nasihat mengenai isu-isu kesihatan," katanya.

Rapatkan jurang digital

Anwar (empat dari kanan) melihat kemudahan dan operasi NADI Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 2.

Sementara itu, beliau berkata, penyediaan perkhidmatan NADI di Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 2 di sini adalah sejajar dengan hala tuju NADI hasil daripada Persidangan Pusat Ekonomi Digital Madani yang dianjurkan pada 29 November lalu bagi memberi nilai tambah kepada kesejahteraan dan membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.

Ujarnya, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada proses penambahbaikan fungsi NADI selain merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dengan luar bandar.

"Setakat 30 Jun ini, sebanyak 75 NADI telah beroperasi di Perak dan empat daripadanya merupakan NADI baharu yang dibina di bawah inisiatif 1 DUN 1 NADI.

"Insya-Allah akan ada lebih banyak NADI selepas ini kerana saya difahamkan secara keseluruhan hampir 90 NADI akan dibangunkan di seluruh Perak," katanya.

Program-program sedia ada di NADI yang telah disusun semula oleh MCMC dijalankan berpandukan kepada lima teras utama iaitu Keusahawanan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesejahteraan Kendiri, Kesedaran dan Inisiatif Kerajaan.

Beri kemudahan

SHAHROL BARIAH

Dalam pada itu, suri rumah, Shahrol Bariah Isa, 50, sangat berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan NADI kerana memudahkan urusannya melakukan pendaftaran berkaitan inisiatif kerajaan seperti Pangkalan Data Utama (PADU) dan kemas kini maklumat Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

"Kebetulan NADI dekat sahaja dari rumah, jadi apa sahaja urusan berkaitan kemas kini atau pendaftaran kerajaan yang memerlukan secara dalam talian, saya akan ke situ.

"Lebih mudah kerana kalau ada masalah, staf boleh bantu dan urusan pun dapat selesai lebih cepat," katanya.

AHMAD HAZIQ

Ahmad Haziq Ilhami Masri, 15, pula menyifatkan kemudahan komputer yang lengkap dan kelajuan internet tersedia di NADI banyak membantunya menyelesaikan tugasan-tugasan sekolah yang memerlukan penggunaan aplikasi dalam talian.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson itu juga sering menjadikan NADI di Kampung Dato' Ahmad Said Tambahan 2 di sini sebagai lokasi perbincangan dalam kumpulan bersama pelajar lain.

"Dekat NADI semuanya sudah lengkap. Kemudahannya sebagai pusat digital membuatkan kita mudah mencari bahan rujukan pendidikan masing-masing," katanya.