KUANTAN - Polis Pahang memperkasakan keselamatan dan pertahanan di 11 balai polis di negeri ini dengan memberi Latihan Tembak Taktikal kepada 130 anggota bermula 6 Jun hingga 12 Julai.
Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, latihan diberikan itu bagi membolehkan mereka sentiasa bersiap sedia dengan persekitaran penugasan mereka.
Menurutnya, ini juga bagi menjamin keselamatan negara dan ketenteraman awam khususnya, langkah komprehensif dan kesiapsiagaan ketika menjalankan tugas amat penting sebagai garis panduan kepada petugas barisan hadapan bagi Pegawai Rendah Polis di lapangan.
"Kita ambil inisiatif untuk memperkasakan mekanisme pertahanan balai dengan melatih anggota dalam pengendalian senjata.
"Latihan itu juga termasuk pemantapan kaedah menembak dan kemahiran penggunaan senjata api di bawah tekanan sekiranya berlaku kecemasan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Perhimpunan Bulanan dan Lafaz Ikrar bagi Julai 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Rabu.
Noor Hisam memberitahu latihan itu dilaksanakan susulan beberapa insiden serangan dan ancaman yang berlaku termasuk serangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1, Balai Polis Ulu Tiram, Johor; Balai Polis Dato' Keramat, Pulau Pinang serta cubaan menceroboh Istana Negara.
Jelasnya, Pahang satu-satunya kontinjen yang melaksanakan latihan sedemikian kepada anggota di bawah seliaannya.
"Harapan saya, ia sentiasa dipraktikkan dalam usaha kita menjaga keselamatan diri dan pasukan.
"Saya sendiri bertindak sebagai tenaga pengajar bagi taklimat ini dapat dimanfaatkan oleh semua petugas barisan hadapan khususnya," katanya.
Dalam pada itu, Noor Hisam berkata, langkah keselamatan di 11 balai polis diperketatkan dengan membuat tapisan pengunjung yang hadir ke premis agensi terbabit.
"Kita akan tapis, hanya mereka yang benar-benar memerlukan khidmat kita benarkan masuk ke balai.
"Kita tidak tahu niat orang, jadi mungkin kalau ramai kita hanya benarkan seorang sahaja masuk (balai), kalau kes melibatkan kanak-kanak atau wanita ditemani waris atau Ibu bapa," ujarnya yang memperketatkan urusan keluar masuk ke balai pada waktu malam.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!