SHAH ALAM - Institut Jantung Negara (IJN) akan mengadakan program larian Run for Your Heart 2024 untuk pesakit jantung di Anjung Floria, Putrajaya pada 13 Julai ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim berkata, larian bertemakan 'heartful strides, colourful vibes' itu dianjurkan bagi memberi inspirasi kepada peserta untuk mengambil langkah ke arah kesihatan yang baik dengan cara lebih menyeronokkan dan kreatif.
"Ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan jantung sambil mendorong orang ramai pelbagai peringkat usia dan tahap kecergasan untuk turut serta. Sebanyak 1,500 pelari akan mengambil bahagian tahun ini.
"Larian dwitahunan edisi kelima ini mempuyai kategori khusus untuk pesakit jantung, direka untuk meraikan pesakit yang telah berjaya menjalani operasi dan terus menjalani kehidupan normal selepas pembedahan.
"Selain itu, ia sebagai tanda memperingati perjalanan pesakit jantung kongenital dengan menonjolkan kekuatan dan ketahanan. Kategori ini juga meningkatkan kesedaran tentang pentingnya sokongan serta advokasi berterusan dalam komuniti penjagaan kesihatan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, antara kategori lain untuk larian termasuk lima kilometer (KM) kanak-kanak dan lima serta 7km dewasa.
Ujar beliau, pihaknya teruja untuk membawa kembali acara menarik tersebut yang bukan sahaja menggalakkan aktiviti fizikal tetapi juga menekankan kepentingan kesihatan jantung dalam masyarakat.
"Melalui larian ini, kami berharap dapat memberi inspirasi kepada individu untuk bergerak bagi menjaga kesihatan jantung mereka dan menunjukkan bahawa penyakit itu bukan penghalang kepada kehidupan yang baik.
"Lebih menarik, pada hari larian berkenaan, turut diadakan pertandingan tee kreatif di mana peserta berpeluang memenangi hadiah bernilai RM1,000 untuk ekspresi seni mereka.
"Dengan menggunakan penanda fabrik disediakan, peserta boleh memberikan sentuhan kreativiti masing-masing. Ia turut dibuka untuk kanak-kanak bagi keseronokan dan mempamerkan reka bentuk imajinatif mereka," katanya.
Tambah Aizai Azan, peserta larian akan diberikan belon jantung turbo yang bersemangat untuk dibawa sepanjang laluan bagi memberi keceriaan warna dan kegembiraan untuk berlari.
Jelasnya, program berkenaan turut merangkumi bilik kesihatan interaktif, orang ramai yang hadir boleh terlibat dengan profesional penjagaan kesihatan, belajar tentang gaya hidup sihat jantung dan menerima pemeriksaan kesihatan percuma.
"Acara ini adalah bukti dedikasi kami kepada kesihatan orang ramai, kami pasti teruja melihat semua orang memakai kasut lari dan membuat perubahan dalam memerangi penyakit jantung," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!