MFW bantu restoran 'no pork, no lard' dapatkan sijil halal

Iklan
MFW akan membantu restoran bukan Muslim yang menggunakan perkataan 'no pork no lard' mendapatkan sijil halal.

JOHOR BAHRU - Pasukan Pemantau Mesra Muslim (MFW) akan membantu perniagaan restoran bukan milik orang Islam yang mengguna pakai perkataan 'no pork, no lard' untuk mendapatkan sijil halal secara sah.

Presiden MFW, Noorman Kamsani berkata, langkah berkenaan penting bagi menjamin makanan atau minuman yang ditawarkan itu benar-benar halal statusnya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, menerusi kerjasama itu, MFW akan memberi bimbingan perkara asas mengenai halal seperti menekankan soal kebersihan, keselamatan dan kualiti.

"Logo Muslim Choice akan diberikan MFW untuk diletakkan di premis mereka. Ini proses sebelum mereka dapat sijil halal.

Iklan

"Untuk itu kita berharap membantu lebih banyak pengusaha premis restoran terbabit mendapatkan sijil pengesahan halal dikeluarkan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Kami mahu mengubah persepsi bukan sahaja pengguna tetapi juga pengusaha premis itu sendiri bahawa perkataan 'no pork, no lard' sahaja tidak mencukupi untuk mengatakan makanan atau minuman di premis berkenaan halal," katanya.

Iklan
Noorman (dua dari kiri) bertukar dokumen dengan Zainal selepas majlis MoU di Pejabat MTPN, Mount Austin, Johor Bahru pada Rabu

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama antara MFW dan Zajas Sdn Bhd untuk mendapatkan sijil halal di Pejabat Majlis Tindakan Pengguna Malaysia (MTPN), Mount Austin di sini pada Rabu.

Turut hadir, Presiden Kebangsaan MTPN, Datuk Dr Kevy KV Yeo dan Pengerusi Zajas Sdn Bhd, Datuk Zainal Abidin Jaafar.

Mengulas lanjut, Noorman berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Zajas Sdn Bhd yang merupakan syarikat dilantik Jakim untuk membantu syarikat-syarikat membuat permohonan mendapatkan sijil halal bertaraf antarabangsa tersebut.

"Untuk tahun pertama kerjasama ini, kita sasarkan 1,000 syarikat baharu yang akan berjaya mendapatkan sijil halal Jakim, manakala jumlah itu dijangka bertambah kepada 2,000 atau 3,000 setahun," katanya.

Tambah Noorman, kerjasama antara MFW dengan Zajas Sdn Bhd itu adalah bagi tempoh lima tahun dengan matlamat utama memperkasa sektor industri kecil dan sederhana (IKS) ke pasaran halal global.

Difahamkan setiap tahun lebih 10,000 syarikat tempatan dan antarabangsa membuat permohonan bagi mendapatkan sijil halal Jakim dengan purata 60 hingga 70 peratus syarikat berjaya.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, terdapat pelbagai sektor perniagaan yang memerlukan sijil pengesahan halal bagi pengguna termasuk makanan dan minuman, kosmetik, pusat sembelihan, produk perubatan, barangan kegunaan harian dan lain-lain.

"Sijil halal Jakim ini bukan sahaja diiktiraf di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Mana-mana produk yang mempunyai sijil halal Jakim juga mudah menjalankan perniagaan khususnya di negara-negara Islam antarabangsa.

"Kami juga berharap melalui kerjasama ini, lebih banyak usahawan tempatan dapat meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan mereka ke tahap antarabangsa demi manfaat pengguna," ujar bekas Pengarah Jakim itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!