[VIDEO] Kakitangan JTK didakwa 13 pertuduhan rasuah hampir RM60,000

Iklan

SEREMBAN - Seorang kakitangan Jabatan Tenaga Kerja(JTK) Negeri Sembilan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas 13 pertuduhan menerima rasuah berjumlah hampir RM60,000 untuk tidak melakukan penguatkuasaan berkaitan kes tuntutan daripada beberapa individu.

Tertuduh, Mashitah Abdul Rahim, 39, yang merupakan Penolong Pegawai Perhubungan Perusahaan JTK di Seremban bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah secara rasuah menerima suapan secara wang tunai dan secara pemindahan dalam talian yang keseluruhan berjumlah RM58,720 ke akaun banknya daripada 12 individu yang merupakan bekas pekerja, pengurus dan pengarah syarikat.

Tertuduh memakai jubah hitam dan berpurdah ketika hadir ke mahkamah atas 13 pertuduhan untuk tidak melakukan penguatkuasaan berkaitan kes tuntutan berjumlah hampir RM60,000.

Ia sebagai dorongan untuk tidak melakukan tindakan penguatkuasaan berkaitan kes tuntutan individu terbabit.

Iklan
Iklan

Kesalahan itu dilakukan antara sekitar Disember 2020 hingga 25 April 2023 di Pejabat JTK Seremban di Wisma Persekutuan.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Iklan

Sabit kesalahan boleh dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azrif Firdaus Mohamad Ali menawarkan jaminan RM20,000 bagi kesemua pertuduhan.

Iklan

Ujarnya, jumlah jaminan itu ditawarkan kerana keseriusan kesalahan dan nilai kerugian dialami adalah tinggi.

Peguam, H M Lavanesh memohon jaminan dikurangkan kepada RM5,000 memandangkan gaji tertuduh telah pun dipotong 50 peratus sejak Ogos tahun lalu.

Tambahnya, anak guamnya juga sedang menjalani rawatan di hospital kerana mengalami masalah jantung.

Mahkamah menetapkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM berhampiran pada Sabtu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.

Tertuduh turut diarah menyerahkan pasport kepada mahkamah dan sebutan semula kes 12 Ogos depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!