'Jiran telefon minta maaf, beritahu anak dia yang letak racun'

Iklan
Nurain

GEORGE TOWN - Jiran kepada dua beradik yang kritikal selepas makan keropok yang disyaki mengandungi racun tikus ada menghubungi ibu kepada mangsa pada malam Selasa.

Nurain Hasnorizal, 25 berkata, ibu kepada jirannya itu menghubunginya pada jam 10 malam untuk meminta maaf terhadap kejadian berkenaan.

Iklan
Iklan

"Jiran ada telefon, 10 malam tadi (Selasa). Mak dia telefon minta maaf semua, beritahu anak dia yang letak racun tu.

"Saya kata tak apa lah, benda dah jadi, nak buat macam mana. Saya tak tahu nak kata apa, harap benda yang baik-baik saja.

Iklan

"Saya nak cakap lebih-lebih pun tak boleh dalam keadaan macam ini. Kadang-kadang mak saya telefon pun (saya) tak sempat nak angkat sebab ada di dalam wad," katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Nurain berkata, dia juga reda apabila orang ramai menyalahkan dirinya dalam kejadian berkenaan.

Iklan

"Biar la apa orang nak kata dalam tu (media sosial), kita saja tahu apa yang sebenarnya berlaku. Orang komen-komen saja, mereka tak tahu.

"Anak saya hanya bermain di luar rumah saja, kita tak biar anak-anak," tambahnya lagi.

Sebelum ini, Nurain dilaporkan berkata, dia masih tidak dapat memikirkan tindakan seterusnya terhadap jiran kerana ingin menumpukan perhatian kepada kedua-dua anaknya itu terlebih dahulu.

Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, dan adiknya Muhammad Luth Syauqi, 2, sebelum ini dilaporkan kritikal selepas makan keropok yang dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar.

Hasil siasatan polis mendapati, dua beradik itu dipercayai mengambil peket keropok yang tergantung di dawai besi pagar mengandungi racun yang bertujuan bagi perangkap monyet.

Kejadian itu disedari ibu mangsa pada jam 11 pagi di rumah sebelum membawa kedua-dua anaknya ke Klinik Kesihatan Malau dan Hospital Kulim (HK) untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun pagi Rabu, Muhammad Akil Syauqi dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!