GOMBAK - Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membongkar kegiatan memproses air ketum dengan tertangkapnya tujuh lelaki di sebuah bengkel kenderaan di Kampung Changkat, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Polis Gombak membuat pemeriksaan di bengkel tersebut pada jam 12.10 tengah malam selepas membuat intipan selama 10 minit.
Iklan
Iklan
"Ada enam lelaki sedang duduk di luar bengkel. Hasil pemeriksaan kita menjumpai sebuah beg biru yang berisi lima bungkus cecair disyaki air ketum.
"Selain itu kita juga telah menjumpai satu bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum yang dianggarkan seberat tujuh kilogram dan 55 bungkusan air ketum," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Arifai berkata, bagaimanapun seorang lelaki yang merupakan pemilik bengkel berkenaan keluar dari premis tersebut ketika pemeriksaan itu.
"Beberapa peralatan yang digunakan untuk memproses air ketum juga dijumpai. Kita merampas dua tong gas, dua set dapur, dua set periuk mengandungi daun ketum, satu alat penimbang, senduk dan penapis air.
"Semua individu berusia dari 19 hingga 36 tahun itu dibawa ke Balai Polis Gombak untuk siasatan mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952," katanya.