De la Fuente puji karakter pemain

Iklan
De la Fuente. Foto EPA

LUIS de la Fuente bangga dengan karakter dan kerjasama pemain yang bangkit daripada ketinggalan untuk membawa Sepanyol mara ke final selepas menumpaskan Perancis 2-1, dalam aksi separuh akhir Euro 2024 pada Rabu.

Beliau berkata, anak buahnya memiliki kepelbagaian dan kualiti individu menakjubkan setelah digabungkan akan mencipta jenama bola sepak yang istimewa dan dipersembahkan pada final tanpa mengira lawan sama ada England atau Belanda.

Iklan
Iklan

"Idea bola sepak kami ialah keyakinan diri. Ini cara kami bermain dengan kekuatan dan kami sudah melihatnya sepanjang kejohanan.

"Secara individu amat menakjubkan dan mereka juga menawarkan kerjasama berpasukan daripada kualiti individu yang menguntungkan pasukan. Mereka sentiasa bekerja untuk kebaikan bersama.

Iklan

"Para pemain amat bagus dalam aspek usaha dan kerja keras. Ini adalah satu lagi tanda mereka adalah pasukan yang hebat. Mereka mahu sentiasa meningkat dengan semangat berkorban," katanya.

Dalam aksi itu, Perancis terlebih dahulu di depan menerusi Randal Kolo Muani, sebelum Sepanyol bangkit dengan dua gol hasil ledakan pemain berusia 16 tahun, Lamine Yamal dan Dani Olmo.

Iklan

Menerusi kemenangan itu, De la Fuente turut menutup mulut pengkritik yang mempersoalkan sebahagian keputusannya dalam memilih pemain sambil mengingatkan bahawa dia mengenali pemain terbaiknya selepas sekian lama bersama sebahagian besar daripada mereka.

"Saya mahu anda tahu ia mungkin mengejutkan anda lebih daripada kami. Saya mengenali pemain ini dan saya membuat keputusan berdasarkan berapa banyak saya mengetahuinya," katanya.

De la Fuente turut memuji Yamal yang menyifatkan pemain itu memiliki sentuhan pintar.

"Saya mahu dia bekerja dengan rasa rendah diri dengan cara yang sama dalam usaha untuk terus meningkat, perwatakan yang sama dan profesionalisme, kematangan itu akan dapat ditunjukkan dalam padang," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!