KUALA LUMPUR - Rundingan mengenai Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) kini di peringkat akhir, membuka laluan untuk perjanjian bersama yang dijangka ditandatangani pada September ini, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Beliau yakin apabila perjanjian itu ditandatangani, JS-SEZ akan menarik pelabur awal yang berminat untuk melabur di zon ekonomi itu.
Bagi tujuan itu, kerajaan Johor dan Persekutuan sedang bekerjasama untuk memastikan JS-SEZ mampu menarik pelabur global terutama melibatkan ekuiti persendirian dan modal teroka, katanya semasa sidang media selepas Forum Pelaburan JS-SEZ di sini, pada Rabu.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut serta dalam sidang media dan menghadiri forum itu.
Perjanjian bersama itu akan menetapkan komitmen dalam sektor keutamaan, rancangan pembangunan infrastruktur dan insentif yang akan ditawarkan kepada pelabur.
Justeru, beliau berharap insentif pakej fiskal untuk JS-SEZ dapat dimasukkan dalam Belanjawan 2025 yang dijadual dibentangkan pada Oktober ini.
"(Rundingan) Beberapa bulan kebelakangan ini amat membuahkan hasil untuk kerajaan Persekutuan dan negeri,” katanya.
Rafizi berkata, kerajaan telah berbincang secara langsung dengan pelabur semasa forum itu dan maklum balas mereka akan dipertimbangkan.
"Memandangkan kita meneliti lebih mendalam mengenai cara untuk JS-SEZ beroperasi, saya percaya kita akan beralih daripada pendekatan sebelum ini yang banyak menumpukan kepada pembangunan infrastruktur dan kemudian menjual plot, kerana plot itu akan dapat dijual,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia ingin mengalu-alukan pelabur yang mampu mewujudkan sebuah ekosistem dalam zon ekonomi itu, yang dipacu teknologi tinggi dan memupuk industri bernilai tinggi.
Beliau turut optimis JS-SEZ boleh menjadi platform untuk pasaran ASEAN.
"Dunia menyedari ASEAN akan menjadi pasaran yang sangat berpengaruh dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang. Asean berkemungkinan bersedia untuk mengatasi Eropah, sebagai contoh,” katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!