Ganti kawasan baharu bagi kompartmen balak berisiko - Sanusi

Iklan
Laporan Sinar Harian. (Muhammad Sanusi)

ALOR SETAR - Kerajaan negeri mengulangi pendirian untuk menggantikan kawasan baharu bagi mana-mana projek pembalakan diluluskan kerajaan terdahulu sekiranya ia mendatangkan risiko kepada alam sekitar mahupun penduduk.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ini termasuk projek ladang hutan di Gunung Bongsu yang menimbulkan kebimbangan penduduk.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sekiranya kajian membuktikan kompartmen yang diluluskan sebelum ini tidak sesuai dilaksanakan, kerajaan negeri bersedia mencari ganti kawasan baharu.

"Cuma yang kita boleh lakukan, kelulusan baharu untuk ganti (kelulusan lama). Contoh sebelum ini lulus ladang hutan dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Muda (kawasan tadahan air), saya suruh kenal pasti kawasan lain untuk ganti, tak munasabah projek ladang hutan dalam kawasan Ulu Muda," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Iklan

Sebelum ini, media melaporkan kerja-kerja penebangan pokok yang sedang dilaksanakan di kawasan Hutan Simpan Gunung Bongsu, dipercayai untuk laluan pembalakan di kompartmen 15, 42 dan 43 menimbulkan kebimbangan penduduk membabitkan 16 buah kampung berdekatan.

Penduduk bimbang sekiranya pembalakan diteruskan, penempatan di kaki Gunung Bongsu berisiko dilanda banjir puing berikutan terdapat dua sungai utama dari gunung, iaitu Sungai Ulu Paip dan Sungai Kob mengalir melalui kawasan berkenaan.

Iklan

Muhammad Sanusi memaklumkan, untuk mengelak risiko, rundingan perlu dilakukan bersama syarikat terbabit terlebih dahulu berikutan syarikat konsesi juga akan mengalami kerugian.

"Kita kena runding untuk cari tempat lain, kalau nak batal pun kena runding. Jika ada kebimbangan isu-isu yang tidak dijangka pada waktu kelulusan dibuat, kita minta mereka kenal pasti kawasan lain, untuk batal pun dengan persetujuan syarikat berkenaan,” ujarnya.

Jelasnya lagi, berkaitan pembalakan di kompartmen dinyatakan itu, pihaknya akan melakukan semakan terlebih dahulu.

"Saya akan semak secara terperinci apa status di kompartmen berkenaan di Gunung Bongsu itu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!