MELAKA - Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini pada Rabu atas tuduhan memperdaya ibu angkatnya dengan menyamar sebagai staf Bank Negara empat tahun lepas.
Tertuduh Norhana Adam, 38, didakwa memperdayakan Latipah Abdul Rahmah, 64, dengan menyamar sebagai staf Bank Negara bernama 'Ary' hingga mendorong mangsa membuat bayaran sebanyak RM39,450 menerusi 19 transaksi ke dalam akaun bank milik tertuduh.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah rumah di Batu 4 1/4 Kampung Alai dalam daerah Melaka Tengah pada 16 November 2020 hingga 9 Februari 2021.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Timbalan Wardah Ishhar yang mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Izzuddin Ab Malek dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Peguam tertuduh memohon jaminan rendah dikenakan memandangkan anak guamnya itu telah bercerai dan baru bekerja di kedai makan dengan pendapatan rendah serta perlu menanggung ibu bapanya.Majistret Khairunisak Hassni kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Ogos ini sebagai tarikh serahan dokumen serta lantikan peguam.
Pada 21 Jun lepas, tertuduh juga didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh kerana menipu rakannya hingga menyebabkan mangsa kerugian RM416,000 dengan menyamar sebagai pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Melaka bernama 'Manja Bunga Lestari” tahun lepas. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!