PUTRAJAYA - Jumlah tenaga buruh pada Mei 2024 terus mengukuh 0.1 peratus mencatatkan 17.15 juta orang berbanding 17.12 juta orang pada April dengan kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.3 peratus, menurut Statistik Tenaga Buruh.
Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah pekerja pada Mei 2024 kekal dalam trend positif menyaksikan pertumbuhan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus kepada 16.58 juta orang berbanding 16.56 juta orang pada April.
"Bilangan penganggur pada Mei mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 0.1 peratus kepada 566,100 orang berbanding 566,400 orang pada April 2024.
"Kadar pengangguran pada Mei kekal pada 3.3 peratus seperti dicatatkan pada bulan lepas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengenai kedudukan guna tenaga, Mohd Uzir berkata kategori pekerja merangkumi 75.1 peratus daripada jumlah pekerja pada Mei 2024.
Kumpulan ini meningkat sebanyak 0.1 peratus kepada 12.44 juta orang berbanding 12.43 juta orang bulan sebelumnya.Beliau berkata, kategori penduduk bekerja sendiri terus berada pada trend menaik dengan kadar pertumbuhan 0.3 peratus kepada 3.05 juta orang berbandinjg 3.04 juta orang pada April.
Mengenai situasi pengangguran pada bulan itu, beliau berkata 79.9 peratus daripada jumlah itu terdiri daripada penganggur aktif atau mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan.
"Kategori ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus kepada 452,000 orang berbanding pada April sebanyak 451,400 orang.
"Dalam kalangan penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan merangkumi 61.5 peratus, manakala mereka yang menganggur melebihi setahun ialah 6.8 peratus. Mereka yang percaya tiada pekerjaan tersedia atau menganggur tidak aktif menurun sebanyak 0.8 peratus kepada 114,000 orang,” katanya.
Sementara itu, bagi kumpulan tidak aktif, Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk di luar tenaga buruh pada Mei 2024 mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 0.003 peratus kepada 7.23 juta orang berbanding April sebanyak 7.23 juta orang.
Mohd Uzir berkata, sebab utama penduduk berada di luar tenaga buruh adalah kerja rumah atau tanggungjawab keluarga dengan sumbangan sebanyak 42.7 peratus diikuti bersekolah atau latihan sebanyak 41.4 peratus.- Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!