Misi bantuan kemanusiaan santuni 12,000 pelarian Syria

Iklan
Beberapa pelarian mendapatkan bekalan makanan, bahan api dan pek musim sejuk yang terdiri daripada tilam dan selimut tebal yang diedarkan Global Peace Mission (GPM) Malaysia, menerusi Misi Bantuan Kemanusiaan Musim Sejuk di Turki dan Syria sejak 10 Januari lepas. - Foto Bernama

GAZIENTEP - Misi Bantuan Kemanusiaan Musim Sejuk sukarelawan Malaysia ke Turki dan Syria yang bermula pada 11 Januari lepas dan berakhir pada Jumaat (24 Januari) berjaya menyantuni lebih 12,000 pelarian.

Selain menyantuni pelarian Syria di negara mereka sendiri dan yang mendapat perlindungan di Turki, misi yang diketuai oleh Global Peace Mission (GPM) Malaysia itu turut membantu komuniti Uighur di Istanbul.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif GPM Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, sepanjang misi selama 14 hari itu sebanyak 3,000 kotak makanan yang setiap satunya bernilai TYR200 (RM138) dan pek musim sejuk berupa tilam dan selimut tebal diagihkan kepada pelarian.

"Pelarian Syria terutama yang tinggal di kem pelarian sangat gembira dan bersyukur menerima bantuan bekalan makanan dan pek musim sejuk ini memandangkan mereka kadang kala berhadapan dengan suhu sehingga -1 darjah selsius pada waktu malam.

Iklan

"Selain itu bagi pelarian yang tinggal di rumah sewa dan pusat komuniti dengan bantuan kerajaan Turki turut menerima bantuan," katanya kepada wartawan Bernama TV yang turut mengikuti misi itu sejak 10 Januari lalu.

Anak-anak pelarian bersama beberapa bekalan yang diperoleh seperti bekalan makanan, bahan api dan pek musim sejuk yang terdiri daripada tilam dan selimut tebal yang diedarkan Global Peace Mission (GPM) Malaysia, menerusi Misi Bantuan Kemanusiaan Musim Sejuk di Turki dan Syria sejak 10 Januari lepas. - Foto Bernama

Iklan

Ahmad Fahmi berkata, misi yang disertai lapan sukarelawan masing-masing dua daripada GPM, Pertubuhan Kemanusiaan dan Pembangunan Malaysia (HUDA) dan sukarelawan Brunei, WeCare serta dua sukarelawan muda turut melawat rumah anak yatim, pusat pendidikan awal persekolahan serta pusat rehabilitasi yang menempatkan pelarian Syria yang cedera.

"Kedatangan kami ke tempat-tempat ini bukan sesuatu yang baharu buat pengurus premis berkenaan kerana setiap kali misi kemanusiaan, kami akan datang menghantar bekalan makanan.

"Bezanya ialah mereka yang menerima bantuan adalah individu yang berbeza kerana seperti yang kita ketahui kerajaan Turki menerima pelarian Syria sangat ramai saban waktu," katanya.

Ahmad Fahmi berkata, rombongan misi turut bermalam di kem pelarian di Sanliurfa iaitu antara bandar yang sangat hampir dengan sempadan Syria bagi merasai sendiri pengalaman bermalam dalam khemah.

"Sewaktu tidur dalam khemah kami turut merasai pengalaman diuji dengan kesejukan bercampur hujan. Beginilah cuaca yang dirasai pelarian selama berbulan-bulan pada musim sejuk," katanya.

Beberapa pelarian mendapatkan bekalan makanan, bahan api dan pek musim sejuk yang terdiri daripada tilam dan selimut tebal yang diedarkan Global Peace Mission (GPM) Malaysia, menerusi Misi Bantuan Kemanusiaan Musim Sejuk di Turki dan Syria sejak 10 Januari lepas. - Foto Bernama

Beliau berkata, misi kemanusiaan kali ini juga turut memberi peluang kepada sukarelawan mendekati komuniti Uighur di Istanbul yang difahamkan seramai 50,000 orang di kota itu.

Pertemuan dengan pemimpin Uighur berkisar kepada pendidikan dan hala tuju komuniti berkenaan mengenai kaedah mengekalkan identiti mereka walaupun terpaksa hidup di negara asing.

"Kerajaan Turki berbesar hati menempatkan pelajar-pelajar Uighur di universiti bagi membolehkan kanak-kanak serta remaja mendapat pendidikan percuma di peringkat sekolah rendah dan menengah.

"Ketika bertemu dengan pemimpin mereka tempoh hari, mereka menyatakan hasrat untuk membina sekolah yang boleh menampung sekitar dua ribu generasi muda untuk bagi memberi pendidikan mengenai bahasa ibunda dan sejarah mereka," tambahnya.

Katanya, misi selama dua minggu itu berjaya hasil sumbangan rakyat Malaysia yang sangat mengambil berat dengan aktiviti kemanusiaan yang dijalankan oleh badan bukan kerajaan (NGO) seperti mereka. - Bernama