BALING - Jenazah Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, yang meninggal dunia disyaki akibat termakan keropok beracun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan di sini pada kira-kira jam 9.45 malam Rabu.
Sebelum itu, jenazah dibawa dari Hospital Pulau Pinang (HPP) selamat tiba di rumah keluarga di kampung berkenaan, sebelum dibawa ke Surau Lebai Ahmad bersebelahan tanah perkuburan pada jam 8.40 malam.
Datuk mangsa, Hasnolrizal Ab Wahab melahirkan kesyukuran setelah urusan pengebumian berjalan lancar, namun enggan mengulas lanjut berhubung kejadian.
"Syukur, Alhamdulillah...semua dah selesai, saya reda," katanya ketika ditemui media.
Bagaimanapun, ibu kanak-kanak itu, Nurain Hasnorizal, 25, enggan ditemu bual media.
Pengebumian turut dihadiri kira-kira 300 orang terdiri daripada ahli keluarga dan penduduk kampung yang memenuhi kawasan perkuburan sejak jam 8 malam.
Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Akil meninggal dunia pada jam 8.40 pagi Rabu dipercayai selepas termakan keropok disyaki bercampur racun tikus yang digantung di pagar dawai besi dekat kebun tidak jauh dari rumahnya.
Dalam kejadian pada Ahad, dua beradik dilaporkan kritikal selepas disyaki makan keropok terbabit.
Adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, dilaporkan masih dirawat di HPP.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!