SHAH ALAM - Kemahiran seorang kanak-kanak lelaki menghasilkan karya diorama atau model tiga dimensi bersaiz kecil sebagai hobi mendapat perhatian dalam kalangan netizen di media sosial.
Menerusi perkongsian video di akaun TikTok milik Afzalizah Nizam Azizan, rata-rata netizen memuji kreativiti yang dipamerkan oleh Muhammad Raziq Hafiy,10, selain menyifatkan kebolehannya itu setanding dengan bakat artis luar negara.
Afzalizah Nizam berkata, minat dalam pengumpulan koleksi terutamanya melibatkan model kereta bersaiz kecil antara faktor yang mendorong Muhammad Raziq untuk mendalami ilmu-ilmu berkaitan seni diorama menerusi platform-platform digital yang ada.
"Dia (Muhammad Raziq) memang minat kereta dari umur dua hingga tiga tahun jenis kereta ‘hotwheels’. Lama-lama dia sudah pandai, dia mula kumpul (model) mahal-mahal punya, dan dari situ mungkin dia mula kenal dengan diorama
"Dia tidak ada belajar buat seni, mungkin dia tengok video-video dari Youtube atau TikTok. Dia buat kajian,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Dalam pada itu, ujar Afzalizah Nizam, karya anaknya itu tidak memerlukan kos yang tinggi sebaliknya, hanya menggunakan peralatan yang ada di rumah sahaja.
"Cuma ada dua atau tiga barang yang dia beli contohnya bahan untuk buat air laut dalam model itu, dalam RM30 lebih.
"Tetapi kebanyakan barang-barang dia memang sudah ada. Kadbod dia guna, itu ambil dari (papan) chess punya. Pokok-pokok semua memang sudah ada lama sebab ambil pakai model diorama yang lama,” menurutnya.
Sementara itu, mengulas mengenai cadangan orang ramai untuk menyertai program-program seni bagi membolehkan Muhammad Raziq mengasah bakatnya, menurut Afzalizah Nizam, dia tidak mempunyai sebarang perancangan ke arah tersebut sebaliknya, memberi tumpuan kepada pembelajaran anaknya terlebih dahulu.
"Buat masa ini apa yang dia buat biar sekadar hobi dan minat dia sahaja, tidak ada lagi perancangan untuk hantar dia ikut mana-mana program.
"Lagipun dia baru umur 10 tahun. Kami sebagai ibu bapa, apa pun tetap perlu fokus pelajaran nombor satu, minat ini nombor dua,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!