SHAH ALAM - Seorang warga emas yang sebelum ini hanya menonton siaran program komedi tempatan di kaca televisyen tidak menyangka berpeluang hadir ke studio untuk melihatnya secara langsung.
Ibu tunggal bernama Markoyah Bostam, 67, berkata, anak perempuan yang membawanya menonton rancangan komedi itu selepas menebus tiket kemenangan keluaran Astro Rewards.
Mesra dipanggil ‘Mak’, dia memaklumkan, niat anaknya sekadar mahu menggembirakan hati seorang isteri kehilangan suami tahun lalu.
"Mak datang sebagai penonton yang meminati pelawak, tetapi tak sangka pulang seperti selebriti pula,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Markoyah turut berkata, dia lebih memilih untuk tidak membaca komen negatif di media sosial agar kesihatan mental, motivasi dan keyakinan diri lebih terjaga.
Ujarnya, ia disebabkan watak tambahan dalam segmen komedi terbabit sekadar hobi dan suka-suka serta tidak pernah terlintas untuk dijadikan sebagai profesion.
"Mak banyak terima kata-kata positif dan doa daripada pengguna media sosial yang baik.
"Kalau komen negatif, mak anggap ia membina kerana mak bukanlah individu yang profesional untuk memberikan tontonan terbaik kepada penonton,” tambahnya.
Ditanya mengenai kisah menarik selepas bergelar selebriti komedi, Mak menjawab ramai pelakon bahkan pemain bola sepak sudah mengecam Mak apabila terserempak di mana-mana.
"Sekarang ramai juga kenal Mak, kalau terserempak dengan Mak, mereka boleh minta bergambar.
"Sekarang, artis pula yang ajak bergambar dengan Mak,” katanya ringkas.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!