BALING - Keropok dicampur racun tikus besar kemungkinan telah dicampak oleh monyet sebelum diambil dua kanak-kanak di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim pada Ahad.
Dakwa pekebun yang mahu dikenali sebagai Am, 35, dia dimaklumkan oleh adik lelakinya berusia 34 tahun bahawa bungkusan keropok bercampur racun itu juga tidak digantung pada pagar berdekatan jalan, sebaliknya diletakkan di kawasan laluan monyet berhampiran hutan.
Dalam pada itu, dakwanya, kedudukan keropok yang diikat pada pagar dawai besi melebihi ketinggian kanak-kanak diyakini tidak mampu dicapai oleh mangsa yang berusia dua dan tiga tahun.
"Bungkusan tu digantung pada ketinggian empat kaki (1.2 meter) menggunakan tali tangsi dan jauh dari laluan tepi jalan.
"Sukar untuk budak tarik atau capai melainkan ada orang dewasa yang ambil atau ditarik monyet dan jatuh di tepi jalan... tapi kalau orang dewasa ambil, mereka akan perasan bungkusan tu tak sempurna, sudah ada kesan dibuka dan diikat dengan getah dan tali... tak mungkin mereka akan ambil," dakwanya.
Am ditemui di Surau Lebai Ahmad selepas mengikuti pengebumian Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan di sini yang meninggal dunia pada Rabu.
Dakwanya, penggunaan racun bagi kawalan makhluk perosak, biasa digunakan pekebun di situ malah kebanyakan penduduk sedia maklum mengenai perkara itu.
Ia bertujuan menghalau kehadiran haiwan liar terutamanya monyet yang terlalu banyak sehingga merosakkan tanaman yang diusahakan.
"Ia amalan biasa yang mana racun tidak berdaftar ini ada dijual di kedai-kedai di Kulim ini selain turut dijual secara dalam talian, racun ini murah yang mana ia dijual pada harga RM3 sepeket.
"Memang biasanya guna makanan ringan jenis itu kerana warna bungkusan yang menarik selain warna keropok yang terang dan monyet akan menjilatnya apabila terkena pada jari, kami tak guna buah sebab bimbang lembu jilat atau makan buah itu," dakwanya.
Dia turut mendakwa terdapat lima bungkusan keropok yang digantung di kawasan kebun, tiga daripadanya sudah dilarikan monyet, satu hilang dan satu lagi masih terikat di pagar.
Dalam perkembangan sama, Am turut mendakwa bahawa keluarganya antara individu pertama membantu mangsa mendapatkan rawatan sebaik sahaja mengetahui kejadian.
"Saya tengah tolong emak kupas kelapa sebelum ibu mangsa berlari sambil mendukung kedua-dua anak bagi mendapatkan bantuan," dakwanya.
Dakwa Am, dalam keadaan cemas, dia kemudian memandu kereta membawa kedua-dua mangsa dan ibu mereka sambil ditemani ibunya bagi mendapatkan rawatan kecemasan.
"Saya sudah cuba sedaya upaya untuk bantu mangsa sekeluarga... saya harapkan yang terbaik untuk mereka," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Muhammad Akil meninggal dunia pada pagi Rabu selepas termakan keropok disyaki bercampur racun tikus dalam kejadian di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim.
Dalam kejadian pada Ahad, Muhammad Akil dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, kritikal selepas dikatakan mengambil keropok berkenaan yang digantung di pagar dawai besi dekat kebun tidak jauh dari rumah mereka.
Muhammad Luth kini dilaporkan masih dirawat di Hospital Pulau Pinang.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!