Bekal senjata api warga Israel: Pendengaran permohonan jaminan 25 Julai ini

Iklan
Abdul Azim dan Sharifah Faraha diringi polis dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Selangor di sini pada pada Khamis.

KUALA SELANGOR - Mahkamah Sesyen Kuala Selangor menetapkan 25 Julai ini bagi membenarkan tarikh pendengaran permohonan jaminan terhadap pasangan suami isteri berhubung kes membekalkan senjata api kepada lelaki warga Israel.

Peguam, Mohamad Isa Mohamad Basir yang mewakili tertuduh, Sharifah Faraha Syed Husin, 41, membuat permohonan itu berdasarkan budi bicara untuk memberikan jaminan bagi kesalahan tidak boleh dijamin.

Iklan
Iklan

"Anak guam saya sebelum ini tidak pernah ditawarkan jaminan sejak dari sebutan kes pendakwaan.

"Kami juga bersedia untuk dikenakan syarat tambahan antaranya bagi menjamin kehadiran tertuduh di mahkamah dan melaporkan diri ke balai polis terdekat," katanya dalam prosiding itu pada Khamis.

Iklan

Peguam, Ethan Tan yang mewakili seorang lagi tertuduh, Abdul Azim Mohd Yasin, 43, turut memohon anak guamnya diberi jaminan oleh mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara, Fazeedah Faik kemudiannya membantah permohonan memberikan jaminan terhadap tertuduh.

Iklan

Menurut Fazeedah, kes itu kesalahan jenayah serius dan percaya mahkamah tidak memberikan jaminan.

Bagaimanapun, Hakim, Ahmad Faizadh Yahaya mengarahkan pihak pendakwaan membuat hujahan balas dan menetapkan sebutan semula kes pada 25 Julai nanti.

Pada 30 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan, dua suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di bazar Ramadan di Kuala Selangor pada jam 7.15 malam bagi membantu siasatan kes membeli senjata api di Thailand sebelum menjualnya kepada lelaki warga Israel.

Polis turut menemukan satu pistol di beg galas dalam kereta Honda Jazz di kediaman mereka yang terletak di Kuala Selangor.

Polis sebelum ini turut menahan seorang lelaki tempatan di Cameron Highlands, Pahang yang dipercayai pemandu kepada lelaki Israel terbabit sejak memasuki negara ini pada 12 Mac lalu.

Lelaki warga Israel itu didakwa menggunakan pasport negara Perancis untuk masuk ke ibu negara.

Bagaimanapun, ia terbongkar selepas ditahan di sebuah hotel dekat Jalan Ampang dan hasil pemeriksaan ke atas suspek berumur 36 tahun yang masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu turut menemukan enam senjata api bersama 200 peluru.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!