BALING - Wajah kanak-kanak yang meninggal dunia akibat termakan keropok beracun, Allahyarham Muhammad Akil Syauqi Nur Sufian, 3, disifatkan berada dalam keadaan berseri-seri dan tersenyum.
Bekas pengasuh, Siti Fadilah Hashim, 46, dari Labu Besar berkata, keadaan itu disedari ketika dia sempat menziarahi jenazah di Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) pada Rabu.
"Masa itu teringat masa kecil, dia aktif...tidak meragam dan manja sangat," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan dekat sini pada Rabu malam.
Menurutnya, berita mengejut itu diterima selepas setahun tidak menemui mangsa yang sudah dianggap bagaikan anak sendiri.
"Saya menjaga Muhammad Akil sejak berusia enam bulan sehinggalah adiknya lahir, lepas itu dia dijaga oleh datuk dan neneknya.
Jelasnya, kali terakhir bertemu arwah pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu ketika dibawa ibu mangsa.
"Saya juga berharap adiknya, Muhammad Luth kembali pulih walaupun dilaporkan kritikal dan sedang dirawat di HPP," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan dua beradik kritikal selepas termakan keropok disyaki bercampur racun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim pada Ahad.
Dalam kejadian itu, kedua-dua beradik itu dikatakan mengambil keropok yang disangkut pada tiang dawai pagar kebun, tidak jauh dari rumah mereka.
Keropok mengandungi racun tikus itu dipercayai bagi tujuan menghalau haiwan liar yang mengancam tanaman penduduk.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!