KUANTAN - Kira-kira 200 kilogram (kg) bangkai ikan mati di tasik Taman Bandar Indera Mahkota dikutip bagi menghapuskan bau yang tidak menyenangkan di pusat reaksi itu.
Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Norkamawati Kamal berkata, pihaknya sudah melaksanakan kerja pelupusan ikan mati sejak Isnin lalu.
"Kerja mengutip ikan dilakukan setiap hari bagi menghapus bau yang tidak menyenangkan di sekitar pusat rekreasi ini.
"Sepanjang empat hari, kira-kira 200kg bangkai ikan telah kita kutip dan kerja-kerja pembersihan akan dilakukan selagi ada ikan yang timbul di permukaan atau terdampar di tepi tasik," katanya pada Khamis.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi mendapati spesies ikan mati yang timbul di permukaan air dan terdampar di tepi tasik ialah lampam dan tilapia.
Difahamkan kejadian tersebut dikatakan berlaku sejak Ahad lalu, namun kerja mengutip bangkai ikan telah dilaksanakan kakitangan MBK untuk dilupuskan di tempat lain selepas mendapat aduan.
Pekerja pembersihan memaklumkan masih terdapat ikan mati di dalam kawasan tasik berkenaan walaupun sudah mengutip dan dikumpulkan beberapa hari termasuk pada petang Rabu.
Katanya, analisis itu mendapati kadar oksigen yang rendah di bawah paras 1mg/1.
"Setakat ini, punca masih belum dikenal pasti," katanya ringkas.
Seorang pengunjung, Aina Atirah Ab Rahman, 35, berkata, kejadian ikan mati di tasik tersebut diketahuinya pada Isnin semasa menjalankan aktiviti riadah di situ.
"Saya hidu bau busuk di kawasan tasik semasa berjalan dan melihat pelbagai saiz ikan timbul di permukaan air.
"Tapi hari ini (khamis), bau itu berkurang disebabkan pihak MBK sudah menjalankan pembersihan," katanya yang melihat ratusan ikan mati pada Isnin lalu.
Dia yang bekerja sendiri bagaimanapun mahu pihak berkaitan menjalankan siasatan dan mengenal pasti punca kejadian itu berlalu.
"Kami bimbang, kalau kawasan ini terus tercemar dengan bau, susah untuk kami menjalankan aktiviti riadah di sini," luah ibu kepada dua anak itu.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang, Wandi Yadzid Yaakob berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan susulan insiden ikan mati di tasik Taman Bandar dan parit di Kampung Jawa pada Selasa dan Rabu lalu.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati ikan yang mati terdiri daripada spesies lampam dan tilapia di kedua-dua lokasi.
Katanya, pengujian in-situ di kedua-dua lokasi aduan mendapati kadar oksigen terlarut (Dissolved Oxygen, DO) adalah di bawah 1.0 mg/L dan rendah berbanding julat normal bagi kehidupan akuatik iaitu 4.0 sehingga 6.0 mg/L.
"Kadar oksigen terlarut yang rendah ini disyaki faktor utama yang menyebabkan kematian ikan," katanya dalam satu kenyataan.
Wandi memaklumkan pemeriksaan di bahagian hulu lokasi aduan turut dilakukan bagi mengenal pasti punca-punca pencemaran.
Jelasnya, kategori kawasan yang diperiksa melibatkan longkang dan saliran air di kawasan perniagaan komersial, pasar dan perumahan.
"Tiga persampelan air telah dijalankan kemudian di serahkan kepada Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisa.
"Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian ikan mati," katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat kes kematian ikan boleh menghubungi JAS di talian 1-800-88-2727 atau e-mel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di http://eaduan.doe.gov.my
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!