MELAKA - Pembantu kedai runcit didakwa di Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis, kerana memandu dalam keadaan mabuk menyebabkan kematian dua penunggang motosikal pada tahun lalu.
Yong Sang Ken,37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Khairunnisak Hassni.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu sebuah kenderaan bernombor pendaftaran MAU5471 telah memandu di bawah pengaruh alkohol di dalam darah dan menyebabkan kemalangan yang mengakibatkan dua kematian penunggang motosikal Iman Nur Azrin Noriman, 18, dan Nurul Rahimah Abdul Samad, 32.
Kejadian itu berlaku di Jalan Pulau Gadong dekat sini, kira-kira jam 8.30 pagi pada 17 Julai tahun lalu.
Tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun serta denda minimum RM50,000 dan maksimum RM10,000 mengikut Seksyen 44 (1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 1999).
Individu yang disabitkan bersalah juga boleh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan sesuatu lesen memandu sekurang-kurangnya 10 tahun dari tarikh sebutan.
Timbalan Pendakwa Raya, Fikri Hakim Zamri menawarkan jaminan RM20,000 terhadap tertuduh..
Peguam Nur Alia Safri bagaimanapun merayu jaminan rendah kerana tertuduh hanya bekerja sebagai pembantu kedai runcit dan memperoleh pendapatan RM1,500 sebulan selain menyara ibu dan kakaknya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan lesen Kelas D milik tertuduh digantung hingga kes selesai selain kes akan disebut semula pada 19 Ogos depan untuk serahan dokumen.
Sinar Harian pada 17 Julai tahun lalu melaporkan seorang remaja dan kerani wanita maut selepas motosikal yang ditunggang kedua-dua mereka dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Jalan Pulai Gadong pada Isnin.
Dalam kejadian jam 8.20 pagi, mangsa Nur Azrin yang menunggang motosikal jenis Honda EX5, manakala Nurul Rahimah 32, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 masing-masing dari arah Pulau Gadong menghala ke arah Klebang.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!