34 tahun pentadbiran, Exco Kelantan bebas rasuah

Iklan
Mohd Nassuruddin (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta Program Ahli Politik dan SPRM Kelantan Komited Memperkasa Budaya Tolak Rasuah.

KOTA BHARU - Exco Kerajaan Negeri Kelantan tidak pernah disabitkan dengan kesalahan rasuah sepanjang 34 tahun ditadbir bawah kerajaan Pas.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, berkata, negeri itu dengan jelas meletakkan asas Islam sebagai dasar pentadbiran hingga sekarang.

Iklan
Iklan

"Dasar Membangun Bersama Islam berteraskan elemen akidah, ibadah dan akhlak itu berjaya membentuk jati diri dan memandu kepimpinan di setiap peringkat untuk menolak jenayah rasuah dalam tadbir urus kerajaan.

"Sehingga ke hari ini, tidak ada seorang pun dalam kalangan Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang disabitkan dengan kesalahan rasuah,” kata dalam ucapan perasmian Program Ahli Politik dan SPRM Kelantan Komited Memperkasa Budaya Tolak Rasuah di Kompleks Kota Darulnaim pada Khamis.

Iklan
Mohd Nassuruddin (barisan depan, tengah) bergambar bersama peserta program.

Menurut beliau, prestasi yang dapat dikekalkan itu sudah tentu hasil daripada penghayatan kepada tuntutan agama oleh kesemua barisan Exco dan diharapkan akan berterusan.

"Saya mengambil kesempatan ingatkan diri saya selaku Menteri Besar dan semua termasuk ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bahawa jawatan ini hanya sementara, kita semua akan mati serta berhadapan perhitungan ALLAH, oleh sebab itu, berwaspada supaya tidak terjerumus dengan jenayah rasuah,” katanya.

Iklan

Justeru, tambah beliau, kerajaan negeri akan terus memperkasakan agenda Islam dalam pentadbiran dengan pendekatan Membangun Bersama Islam.

"Bukan semata-mata dasar tetapi bertujuan mengajak kesemua kepimpinan dan rakyat menghayati Islam dalam segala tindakan untuk kesejahteraan keluarga, masyarakat, negeri serta negara.

"Kerajaan ini juga komited membentuk masyarakat sejahtera melalui Budaya Komuniti Rabbani iaitu melorongkan rakyat kembali kepada ajaran Islam sahaja yang boleh menjadikan Kelantan sebagai sebuah negeri berkat,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!