Larangan paparan tembakau, vape: Persatuan peniaga runcit jangka tanggung kos RM200 juta

Iklan
Majoriti menolak cadangan larangan untuk produk tembakau dan vape dipamerkan secara runcit. Gambar hiasan (Gambar kecil: Chee Meng)

KUALA LUMPUR - Persekutuan Persatuan Peniaga Barang Runcit Malaysia (FSGMAM) bimbang terhadap cadangan larangan paparan untuk produk tembakau dan vape dengan menganggarkan unjuran kos pelaksanaan sebanyak RM200 juta.

Anggaran itu berdasarkan tinjauan pendapat baru-baru ini yang dijalankan dalam kalangan ahli FSGMAM untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai cadangan langkah yang akan diperkenalkan di bawah Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) tidak lama lagi.

Iklan
Iklan

Tinjauan yang mendapat maklum balas daripada 256 ahli itu, mendedahkan majoriti menolak cadangan larangan untuk produk tembakau dan vape dipamerkan secara runcit iaitu sebanyak 96.9 peratus, dengan responden menganggarkan bahawa setiap premis runcit perlu membayar sehingga RM5,000 untuk membuat pelarasan bagi mematuhi larangan tersebut.

Dianggarkan terdapat seramai 40,000 peruncit terlibat dalam penjualan produk tembakau dan vape di seluruh negara.

Iklan

Selain itu, antara impak yang turut dinyatakan termasuk penurunan hasil sebanyak 20 peratus hingga 30 peratus menjejaskan perniagaan mereka dengan ketara (82.1peratus), meningkatkan kos operasi kerana perlu mengambil lebih ramai kakitangan (69.5 peratus), pengguna beralih kepada produk seludup (40.6 peratus), dan penurunan dalam jualan produk selain tembakau dan vape (29.7 peratus).

Katanya, cadangan larangan mempamerkan produk tembakau dan vape bukan sekadar satu masalah terpencil kerana untuk menanggung kos yang tinggi bagi membuat pelarasan merupakan beban kewangan yang besar bagi peruncit kecil dan sederhana di seluruh Malaysia.

Iklan
Kebanyakan ahli FSGMAM amat bimbang tentang kos tinggi yang perlu mereka tanggung untuk mematuhi larangan itu. Gambar hiasan

Beliau berkata, tinjauan mereka jelas menunjukkan bahawa kebanyakan ahli amat bimbang tentang kos tinggi yang perlu mereka tanggung untuk mematuhi larangan itu, yang secara kolektif boleh berjumlah RM200 juta.

"Peruncit sudah pun bergelut dengan tekanan inflasi, penurunan kuasa perbelanjaan pengguna akibat kenaikan kos barang. Cadangan larangan paparan, dan kesan kewangan yang berkaitan, hanya akan memburukkan lagi keadaan ini. Potensi penurunan hasil adalah ancaman serius kepada mata pencarian ahli kami,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

FSGMAM katanya, turut menyeru kerajaan agar mengguna pakai pendekatan seimbang yang mengambil kira kesan ekonomi kepada peruncit tempatan disamping memenuhi objektif kesihatan awam.

Bagaimanapun katanya, FSGMAM kekal komited untuk bekerjasama dengan kerajaan untuk mencari penyelesaian yang saling menguntungkan yang menyokong kesihatan awam dan kesejahteraan ekonomi sektor peruncitan Malaysia.

"Kami memahami dan menyokong keperluan kawalan tembakau dan vape yang berkesan untuk melindungi kesihatan awam. Bagaimanapun, langkah-langkah larangan seperti cadangan larangan paparan memberi impak yang besar kepada peruncit tempatan.

"Adalah penting untuk mencari penyelesaian yang seimbang dan pragmatik yang mampu menangani objektif kesihatan awam tanpa meletakkan tekanan kewangan yang tidak wajar kepada peruncit,” kata Chee Meng.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!