KUALA LUMPUR - Gula-gula getah bercampur dadah seberat 3.5 kilogram (kg) antara yang dirampas dalam serbuan di dua unit kediaman yang dijadikan sebagai stor penyimpanan dadah di Cheras dan Seri Kembangan, Selangor pada Rabu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, sepasukan anggota JSJN Kuala Lumpur telah merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM5.02 juta dalam serbuan pada jam 2.10 petang.
"Kita turut merampas dadah methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) seberat 165 kg, ketamin (9 kg), ekstasi (7.5 kg), pil erimin 5 (4.5 kg), kokain (1.6 kg) dan syabu 485 gram," katanya dalam sidang akhbar pada Khamis.
Menurutnya, polis turut menahan dua lelaki berusia 22 tahun di tempat letak kereta sebuah pangsapuri di Cheras dan susulan tangkapan terbabit polis menyerbu satu unit pangsapuri di lokasi sama dan sebuah unit kondominium di Seri Kembangan.
"Suspek pertama berperanan sebagai penjaga stor penyimpanan dadah dengan mendapat upah RM6,000 sebulan.
"Suspek kedua pula berperanan sebagai penghantar dengan upah RM4,500 sebulan," katanya.
Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis turut menyita sebuah kereta jenis Toyota Vios.
"Kedua-dua suspek tidak mengetahui kediaman itu disewa atas nama siapa dan juga kadar sewa yang dikenakan," ujarnya.
Kok Chin berkata, sindiket ini dipercayai mula aktif sejak tiga bulan lalu itu mendapat bekalan dadah dari negara jiran dan dadah yang dirampas adalah untuk pasaran di sekitar Lembah Klang.
Tambahnya, semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan narkotik dan jenayah manakala hasil ujian saringan awal polis mendapati hanya seorang suspek positif ketamin.
"Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula hari ini hingga 17 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!