ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengingatkan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir agar tidak mempolitikkan isu Loji Rawatan Air (LRA) yang dicanang ‘bermasalah’.
Beliau berkata, isu dimainkan seolah kerajaan negeri gagal melaksanakan projek LRA Sungai Limau dan LRA Bukit Selambau, sedangkan hasil tinjauan dilakukan mendapati kes terbabit tidak serius dan boleh ditangani.
Sanusi sebaliknya menyifatkan kenyataan Pengarah Strategi PKR itu sebagai ‘cakap politik’ bagi memberi gambaran kerajaan negeri tidak pandai menguruskan projek pembangunan.
"Dia (Akmal Nasrullah) gambarkan seolah kes besar. Mai (datang) sini, nak buat kandungan TikTok saja. Yang orang jawab tak masukkan hanya letak yang dia cakap seorang. Lepas itu potong video supaya nampak isu berat.
"Masa saya melawat (pada Selasa) kedua-dua loji berkenaan tak ada masalah besar, tengok tak ada apa pun. Namun digambarkan seperti kita tak reti buat kerja,” katanya.
Sanusi memaklumkan, LRA Sungai Limau dan LRA Bukit Selambau telah diberikan tambahan masa (EOT) untuk disiapkan sehingga tempoh Januari dan April tahun depan.
"EOT diberikan selepas syarikat kontraktor membuat permohonan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) berdasarkan aspek-aspek teknikal.
"Setakat ini, LRA Sungai Limau mengalami kelewatan projek tujuh peratus sementara LRA Bukit Selambau mendahului kemajuan kerja satu peratus,” katanya.
Pada Februari, Akmal Nasrullah meninjau projek LRA Bukit Selambau dan LRA Sungai Limau yang didakwanya berlaku kelewatan 30 dan 50 peratus daripada jadual ditetapkan.
Isu berkenaan turut dijadikan bahan kempen ketika beliau menyampaikan ceramah Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Dalam pada itu, Sanusi menyifatkan Akmal Nasrullah tidak mengamalkan amalan baik dalam pentadbiran kerana melangkaui sistem aliran kerja.
"Ada penguasa projek (Setiausaha Kerajaan Negeri), wakil penguasa (JKR) selain jabatan-jabatan teknikal. Saya, Exco atau menteri perlu pergi kepada penguasa projek untuk dapatkan laporan.
"Bukan tibai ikut bawah, itu bukan aliran kerja yang betul. Dia kena belajar lagilah. Buat TikTok nak main politik, melawat LRA tibai kontraktor. Kontraktor jawab tak masuk TikTok, yang dia cakap saja masuk.
"Saya sendiri dapatkan laporan daripada penguasa projek setiap minggu dalam mesyuarat Exco. Penguasa panggil wakil penguasa untuk taklimat, kita bagi pandangan, itu aliran kerja yang betul,” jelasnya.
Mengulas mengenai kelewatan LRA berkenaan, Sanusi tidak menolak kemungkinan kontraktor berdepan kekangan seperti kenaikan harga bahan binaan sejak tender dikeluarkan pada 2021.
"Tender dibuat pada 2019, keputusan tender pada 2021, berlaku peningkatan harga barangan empat kali selain pandemik Covid-19 yang beri tekanan kepada kontraktor kerana kos meningkat.
"Sebahagian besar peralatan bidang mekanikal (MNE) tidak diberi VOP (variasi harga) seperti pam dan elektrik. Saya rasa itulah kekangan terbesar kontraktor di seluruh negara, bukan Kedah saja," katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri bekerjasama mencari penyelesaian dalam memastikan projek tersebut dapat disiapkan dalam tempoh EOT yang ditetapkan.
"Kita sedang cari solusi bersama semua pihak terlibat untuk percepatkan kerja-kerja dalam tempoh ditetapkan. Kita tak biarkan kontraktor sendirian berdepan masalah ini,” ujarnya.
Sanusi percaya kontraktor terlibat akan berusaha menyiapkan kedua-dua LRA berkenaan sebelum tempoh akhir bagi mengelak mereka dikenakan denda tinggi.
"Di Sungai Limau diberikan EOT kali kedua, kontraktor akan didenda sekiranya serahan projek melebihi tarikh ditetapkan. Di Bukit Selambau EOT hingga April tahun depan, selepas tarikh itu juga akan didenda.
"Mana ada kontraktor buat kerja nak kena denda, Mesti dia kejar sehabis baik untuk siapkan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!