FASILITI pelabuhan di Pelabuhan Klang yang dikendalikan oleh Northport (Malaysia) Berhad (Northport) iaitu Southpoint mencatat rekod baharu cemerlang bagi jumlah pengendalian kargo bulanan tertinggi sebanyak 297,337 tan metrik pada Mei lepas.
Ia merupakan pertumbuhan ketara sebanyak 59.1 peratus berbanding bulan yang sama pada tahun lalu, sekali gus melepasi rekod prestasi sebelumnya iaitu 289,826 tan metrik pada Ogos 2001.
Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof berkata, pencapaian cemerlang Southpoint pada Mei itu adalah bukti komitmen pihaknya dalam meningkatkan kecekapan operasi dan mengembangkan perkhidmatan.
"Peningkatan ketara jumlah pengendalian kargo terutamanya dalam segmen pukal kering menyerlahkan keberkesanan inisiatif strategik Northport, termasuk penubuhan Hab Logistik Biojisim di Southpoint.
"Segmen kargo pukal cair dan pukal turut mencatatkan pertumbuhan positif iaitu peningkatan sebanyak 42.1peratus serta 7.3 peratus, berbanding Mei 2023,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Jenis kargo dan bahan biojisim khususnya tempurung kelapa sawit mencatatkan pertumbuhan tertinggi dengan 84,415 tan metrik bersamaan 193 peratus manakala pengendalian kargo lain seperti minyak sawit (76,469 tan metrik) dan arang (63,130 tan metrik), masing-masing meningkat sebanyak 47 peratus serta 47.2 peratus.
Southpoint yang sebelum ini dikenali dengan nama Pelabuhan Swettenham ditubuhkan pada 15 September 1901 dan ditadbir oleh Malayan Railways Ltd semasa pemerintahan British.
Ia mula diisytiharkan sebagai 'Zon Komersial Bebas' pada Februari 2004 dan kini mempunyai lapan dermaga bermula Dermaga 1 hingga Dermaga 7A dengan kedalaman berbeza serta keluasan keseluruhan 53,000 meter persegi untuk menampung pelbagai saiz kapal.
Azman Shah memaklumkan, pihaknya mengorak langkah besar dengan menubuhkan Hab Logistik Biojisim di Southpoint pada April 2018 iaitu inisiatif strategik untuk meningkatkan industri biojisim sambil mengukuhkan penjagaan alam sekitar di negara ini.
Tambah beliau, ia merangkumi strategi komprehensif dalam usaha mengoptimumkan penggunaan sumber dan memupuk kerjasama industri.
"Bermula hanya tiga pemain industri utama iaitu Tien Chung, ES Ng Holding dan Tropical Timber, Southpoint telah menyaksikan pertumbuhan kendalian bahan biojisim yang ketara dengan jumlah kendalian meningkat dari 16,551 tan metrik pada 2015 kepada 464,013 tan metrik pada 2023.
"Penyumbang penting kepada lonjakan ini termasuk pemain industri seperti Ovol New Energy Sdn Bhd dan Bio Eneco Sdn Bhd yang mengeksport bahan biojisim terutamanya ke negara Jepun dan Thailand.
"Pertumbuhan dalam pengendalian biojisim mencerminkan kejayaan Southpoint memanfaatkan industri biojisim yang sedang berkembang dan memacu kelestarian alam sekitar serta kemampanan ekonomi di rantau ini,” ujar beliau.
Jelasnya lagi, kejayaan Southpoint pada hari ini adalah sebahagian usaha transformasi dan pemulihan berterusan yang bertujuan meningkatkan keupayaan serta meluaskan jangkauan perdagangan serantau.
"Dengan pencapaian ini, kami berazam untuk meneruskan inisiatif penambahbaikan dan inovasi buat Southpoint.
"Program 'Reinventing Northport' yang masih lagi berjalan adalah bukti komitmen kami untuk mentransformasikan Northport sebagai sebuah pelabuhan yang 'Lebih Selamat, Lebih Hijau, Lebih Pintar dan Lebih Baik'.
"Kami berharap dapat terus mencipta kejayaan dan meneroka peluang baharu untuk memacu pertumbuhan dan kemampanan berterusan dalam operasi,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!