Lelaki dipercayai pecahkan cermin kereta ditahan

Iklan
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Ravinder Singh

KUALA LUMPUR - Insiden cermin beberapa buah kereta yang diletakkan di tepi jalan kawasan Transit Aliran Ringan (LRT) Awan Besar, Bukit Jalil, 2 Julai lalu dipecahkan terungkai apabila seorang individu ditahan dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravinder Singh Sarban Singh berkata, suspek yang merupakan lelaki tempatan itu ditahan kira-kira jam 7 malam pada Rabu di sekitar kawasan Razak Mansion.

Iklan
Iklan

"Suspek berumur 42 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras susulan siasatan yang dijalankan berhubung kejadian.

"Semakan turut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Iklan

"Suspek kini direman tiga hari bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya.

Sinar Harian pada 2 Julai lalu melaporkan tular satu video menunjukkan cermin beberapa buah kenderaan dipercayai dipecahkan oleh individu tidak dikenali di kawasan LRT Awan Besar, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Iklan

Susulan itu, enam laporan polis telah diterima berhubung kejadian terbabit dan siasatan selanjutnya dijalankan bagi mengesan individu terlibat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!