MELAKA - Dua kanak-kanak maut manakala ibunya kritikal dipercayai sesak nafas akibat terhidu asap tebal di sebuah bilik sewa di tingkat tiga, Plaza Mahkota Melaka, Banda Hilir, di sini, pada petang Khamis.
Kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, menyebabkan dua beradik perempuan itu, Nuralia Karisa, 12, dan adiknya Zahra Abdullah, 2, disahkan meninggalkan dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka manakala ibunya Azliha Ngah Ariffin, 40, masih dalam keadaan kritikal.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata, siasatan awal mendapati, saksi di tingkat dua bangunan memaklumkan terdapat kepulan asap memasuki biliknya pada jam 1.50 tengah hari sebelum menghubungi talian kecemasan 999.
Menurutnya, operasi menyelamatkan tiga beranak itu telah berjaya dilakukan oleh pihak bomba namun dipercayai ketika operasi mengeluarkan ketiga-tiga mangsa, mereka dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke hospital.
"Setakat jam 5 petang kita dimaklumkan ibu mangsa masih dalam keadaan kritikal," katanya ketika dihubungi di sini, pada Khamis.
Sementara itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohd Pisar Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 1.33 tengah hari sebelum jentera daripada empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dikejarkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan seramai 40 anggota dan pegawai.
Ujarnya, siasatan mendapati kebakaran awal dipercayai berlaku dari arah ruang pejabat yang berada di tingkat satu sebelum asap tebal merebak ke bilik-bilik sewa di tingkat dua dan tiga.
"Sehingga kini kerja-kerja pemadaman masih dijalankan.
"Kita percaya mangsa-mangsa yang terlibat ini mengalami sesak nafas akibat terhidu asap tebal," katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran.
Tambahnya, bomba turut berdepan sedikit kesukaran apabila api telah merebak dan setiap tingkat bangunan ini dipenuhi asap.
"Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!