PERGADUHAN tercetus antara pemain Uruguay dengan sebahagian penyokong Colombia selepas aksi separuh akhir Copa America 2024 di Stadium Bank of America, Charlotte pada Khamis.
Bintang Liverpool, Darwin Nunez antara pemain yang dilihat menumbuk penyokong Los Cafeteros di tempat penonton selepas perlawanan.
Penyokong Colombia dilihat membaling topi, tin dan tumbukan ke arah pemain Uruguay, yang kembali ke bilik persalinan selepas tewas dalam perlawanan fasa lapan terbaik tersebut.
Dalam video dirakam seorang peminat di stadium itu, Nunez dilihat marah terhadap chant penyokong Colombia sebelum tonggak The Reds tersebut memasuki tempat duduk dan melepaskan tumbukan ke arah sebahagian mereka.
Bintang Barcelona, Ronald Araujo dan Jose Maria Gimenez (Atletico Madrid) juga dilihat berdiri di samping Nunez ketika pergaduhan tercetus.
Pegawai keselamatan dan pegawai polis bergegas untuk menenangkan keadaan sebelum mengiringi pemain meninggalkan tempat kejadian.
Beberapa pemain, termasuk Nunez, kembali ke padang dan bertemu keluarga masing-masing, yang dilaporkan ‘didera’ sebahagian penyokong pasukan lawan.
Dalam pada itu, kapten Uruguay, Gimenez membidas tahap keselamatan di Charlotte berkata, pemain bimbang keselamatan keluarga mereka, menuding jari kepada tingkah laku penyokong Colombia, yang mendominasi tempat duduk.
"Ia adalah satu bencana yang besar. Tidak ada seorang pun pegawai polis. Mereka muncul setengah jam kemudian.
"Satu bencana. Dan kami berada di sana, berdiri untuk diri kami sendiri, untuk orang yang kami sayangi.
"Harapnya, mereka akan ambil lebih banyak langkah berjaga-jaga untuk perlawanan seterusnya supaya ini tidak berlaku lagi, ini adalah bencana,” kata Gimenez.
Nunez, yang kelihatan 'koyak' selepas insiden itu ditenangkan rakan sepasukannya di Liverpool, Luis Diaz dan veteran Luis Suarez.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!