Raja Perlis tidak berkenan takrifan sempit RUU Mufti

Iklan
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

ARAU - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah sesuatu undang-undang yang ingin digubal, hendaklah dipertimbangkan dengan sewajarnya terutama yang perlu diluluskan oleh Sidang Parlimen.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, baginda mengikuti dengan rapat dan menimbang dengan penuh berhati-hati akan polemik yang timbul ekoran pembentangan Rang Undang-undang (RUU) berkaitan Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 melalui bacaan kali pertama di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Iklan
Iklan

"Dengan melihat butiran Rang Undang-undang (RUU) yang telah dibentangkan, beta berpandangan bahawa, adalah tidak wajar berlaku di dalam negara tercinta ini akan tindakan untuk menyempitkan takrif Ahlus Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah hanya bersumberkan aliran Al-Asyairah dan Al-Maturidiah.

"Dari sudut fiqh hanya daripada Mazhab Syafie dengan meraikan tiga mazhab lain dan dari sudut tasawuf adalah bersumberkan Imam Ghazali dan Imam Junaid," titah baginda dalam kenyataan yang dimuat naik oleh Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam hantaran ringkas di Facebook (FB) beliau pada Khamis.

Iklan

Menurut baginda, tindakan seumpama itu adalah tidak bersifat inklusif bahkan membawa kepada elemen sektarian dalam kalangan umat Islam di negara ini.

"Justeru, beta tidak mahu Majlis Raja-Raja diheret dan digunakan bagi menyokong RUU ini," titah baginda.

Iklan

Tuanku Syed Sirajuddin turut bertitah, bahawa selaras dengan Perkara 5 Undang-undang Tubuh Kerajaan Perlis 1948, telah memperuntukkan mengenai Agama Negeri Perlis adalah agama Islam Ahli Sunnah Waljama'ah seperti yang telah diamalkan dalam negeri.

"Sebagai Ketua Agama Islam Negeri, beta bertanggungjawab untuk memastikan pemahaman agama Islam itu hendaklah dalam keadaan harmoni, mengutamakan perpaduan sejagat dan terhindar dari anasir ekstrem yang mengetepikan kepelbagaian pandangan serta khazanah ilmu cendekiawan Islam dalam sejarah Islam yang gemilang.

"Keluasan pandangan dalam pelbagai cabang amalan agama, telah sekian lama diterima dan diamalkan oleh umat Islam di dalam negara ini serta turut meraikan perbezaan pandangan di seluruh dunia," titah baginda.

Tuanku bertitah, dalam hubungan itu, Wilayah Persekutuan sepatutnya membawa semangat federalisme yang memayungi semua pihak.

"Negara-negara umat Islam lain seperti Arab Saudi, Qatar dan lain-lain akan mudah dianggap terkeluar dari kalangan Ahlus Sunnah wal Jamaah sekiranya takrifan sempit ini diteruskan.

"Besarlah harapan beta agar segala yang dizahirkan dalam titah ini diberikan perhatian oleh semua pihak. Utamakanlah sikap berhati-hati, berfikiran panjang serta penuh hikmah dan santun dalam setiap tindakan.

"Biarlah sesuatu keputusan yang diambil pada hari ini, tidak menimbulkan pertikaian berpanjangan," titah baginda.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!