PELAWAK dan bekas penyampai radio, Shuk Sahar meluahkan rasa syukur apabila diberi peluang kedua untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Pemilik nama penuh Mohammad Shukri Mohamed Sahar itu berkata, apa yang penting, dia kini tidak perlu lagi menagih simpati orang demi kelangsungan hidupnya dan keluarga.
"Kehidupan sekarang alhamdulillah sudah stabil. ALLAH beri satu lagi peluang untuk menjadi suami, ayah dan terus berbakti sebagai seorang anak.
"Paling penting, saya mampu jalani kehidupan normal. Saya tidak perlu lagi meminjam duit kawan atau menagih simpati demi mendapat ‘hadiah’ ketika bersiaran langsung di media sosial,” katanya.
Shuk, 38, berkata demikian ketika ditemui pada sesi pelancaran Dol's Podcast yang dikendalikan bersama Shuib dan Fizie di Mutiara Damansara pada Selasa.
Ditanya apakah dia berjanji untuk tidak lagi mengulangi kesilapan sama, anak kelahiran Pulau Pinang itu mempunyai prinsip yang berbeza.
Jelas Shuk, dia enggan menabur janji hanya untuk memuaskan hati pihak lain.
"Bagi saya apa yang penting, saya tahu apa yang saya sedang buat sekarang dan untuk masa depan,” ujarnya.
Shuk berkata, apa yang dipelajarinya, dia mahu memperbaiki hubungan dengan ALLAH SWT.
"Saya tak mahu cakap benda ini, nanti orang kata saya ‘poyo’, tetapi ini lahir dari hati.
"Jadi bila diberi lagi kesempatan, saya mahu terus perbaiki ‘hubungan itu’,” jelasnya.
Dalam masa sama, Shuk berterima kasih kepada rakan-rakan industri yang tidak pernah meninggalkannya sendirian terutama Shuib, Nabil dan Ebby Yus.Ujar Shuk, Shuib sanggup memberinya pinjaman sebanyak RM10,000.
"Ada satu kejadian, hari yang sama saya dapat panggilan kontrak dibatalkan, saya sepatutnya ada sesi fotografi bersama Nabil.
"Kemudian Nabil hubungi saya bertanya saya di mana. Bila saya beritahu kontrak tidak diteruskan, petang itu Nabil masukkan sejumlah wang.
"Begitu juga dengan abang Ebby yang menghubungi saya bertanya khabar dan masukkan duit ke akaun saya,” katanya.
Sebelum ini, rumah tangga yang dibina Shuk bersama Rossa Sera atau Rossalennah Natassyiah Asshaferah menjadi perhatian umum selepas wanita itu mendedahkan telah dicurangi suaminya.
Bagaimanapun perkahwinan yang dibina sejak 2015 berakhir dengan penceraian pada 22 Mac 2023.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Qurratu Ain, 8, dan Nur Assyifatu Aimi, 5 tahun.
Shuk kemudiannnya kembali bergelar suami kepada Fara Salleh pada November tahun lalu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!