1,000 metrik tan musang king eksport pertama durian ke China

Iklan
Aminuddin (dua dari kiri) ketika meninjau ruang pameran disediakan sempena sesi libat urus Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama pengusaha durian bagi pasaran China di Pusat Operasi Fama Batu Kurau pada Khamis. (Gambar kecil: Nor Sam)

LARUT - Pengeksportan pertama durian segar ke China yang dijangka Oktober ini akan melibatkan antara 500 ke 1,000 metrik tan bekalan, kata Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi.

Beliau berkata, anggaran jumlah itu mengambil kira kemampuan bekalan durian sedia ada memandangkan musim buah yang sudah berada di penghujung.

Iklan
Iklan

"Itu anggaran kapasiti yang kita boleh sediakan untuk pengekspotan kerana musim pun dah berakhir, jadi buah tidak banyak untuk tahun ini.

"Durian yang dipilih bagi pasaran China ini bergantung kepada permintaan, tetapi buat masa ini permintaan tinggi pengeksport adalah jenis premium musang king," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sesi libat urus Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bersama pengusaha durian bagi pasaran China di Pusat Operasi Fama Batu Kurau di sini pada Khamis.

Aminuddin (tiga dari kanan) bersama Nor Sam (empat dari kanan) melihat proses pembungkusan durian untuk dieksport ketika melawat Pusat Operasi Fama Batu Kurau pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi Fama, Aminuddin Zulkipli dan Ketua Pengarah Fama, Abdul Rashid Bahri.

Iklan

Nor Sam berkata, buat masa ini pihaknya sedang menunggu proses pengauditan premis dan ladang durian daripada Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) bagi tujuan eksport tersebut.

Katanya, daripada dapatan dilakukan, banyak kebun durian di seluruh negara terutama di Pahang berpotensi tinggi menjadi ladang pembekal khususnya jenis premium yang dapat memenuhi permintaan pengeksport.

"Paling penting kena daftar dengan Jabatan Pertanian untuk dapatkan pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGap) dan berdaftar dengan Biosekuriti supaya kita dapat lihat ladang itu mematuhi aspek kuarantin," katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, sesi libat urus yang melibatkan 150 peserta itu bertujuan memberi peluang kepada pekebun durian tempatan terlibat secara langsung dalam pasaran ke China.

"Saya harapkan program ini jadi permulaan yang dapat dimanfaatkan pekebun-pekebun kecil di sini.

"Walaupun tanam sikit-sikit, tetapi jika ada tempat pengumpulan, mekanisme dan peraturan, insya-ALLAH semua bekalan durian ini akan sampai ke China," katanya.

Media melaporkan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada sidang Dewan Rakyat menyatakan pengeksportan itu susulan pemeteraian Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China, 19 Jun lalu.

Sebelum ini, Malaysia hanya diberi lesen untuk mengeksport durian sejuk beku dalam bentuk biji, ulas dan pes ke China berbanding Thailand dan Vietnam yang telah mendapat kelulusan mengeksport durian segar ke negara berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!