KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, agama sering disalah guna untuk memanfaatkan kumpulan kecil tertentu akibat kejahilan atau salah faham.
Justeru itu, beliau berkata, setiap individu perlu mempunyai kefahaman yang lebih mendalam dan betul mengenai agama bagi memastikan ia mampu berfungsi secara positif serta inklusif untuk semua.
".... dengan pencerahan dan kefahaman yang lebih mendalam, kita boleh berbicara tentang MADANI, Islam dan Ketuanan Melayu... tanpa kefahaman mendalam, ia akan menjadi kupasan yang dangkal.
"Islam akan menjadi bahan yang meremehkan orang lain, tidak mengangkat martabat mereka dan kaum akan menjadi alasan bagi kelompok yang berkuasa atau bercita-cita tinggi untuk memperalat serta menakut-nakutkan supaya mereka boleh merampok sebanyak mungkin," katanya ketika berucap pada Forum MADANI Global 2024 di sini.
Forum dua hari yang bertema 'Catalysing The Next Civilisation Revival' itu turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
Perdana Menteri juga berkata, konsep MADANI yang diperkenal oleh kerajaan pimpinan beliau mendukung prinsip keadilan serta keterangkuman kerana ia tidak boleh menjadi eksklusif untuk Malaysia yang merupakan sebuah negara berbilang bangsa dan agama.
"Di kebanyakan negara termasuk Malaysia, atau Indonesia, atau Mesir, ia diterajui orang Islam kerana mereka membentuk majoriti namun penglibatan adalah terbuka untuk mereka yang memahami nilai-nilai kebebasan.
"Prinsip keadilan, kehormatan dan maruah untuk setiap rakyat," katanya.
Menerusi hantaran di laman Facebook pula, Anwar berkata, tumpuan kepada pembangunan ekonomi di Malaysia juga tidak seharusnya meminggirkan nilai-nilai kemanusiaan dan kerangka MADANI adalah bersepadu dengan menggabungkan elemen keadilan, kebebasan, nilai serta mementingkan kemakmuran ekonomi.
"(Ia juga) menyemangati idea dan cetusan nurani mantan Perdana Menteri Indonesia Bapak Mohammad Natsir yakni jangan membangun sambil meruntuhkan," katanya.
Anwar turut berkongsi pengisian ucapan beliau pada Forum Global MADANI 2024 anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini.
Perdana Menteri juga berkata, cabaran kini ialah menjelmakan idea MADANI dalam konteks realiti dengan mengambil kira kekuatan material dan keadaan sosiopolitik semasa.
Beliau berkata, gerakan perubahan meratakan kefahaman seperti ini penting agar ia inklusif dan dirasakan oleh rakyat terbanyak.
"Justeru, saya zahirkan penghargaan kepada IKIM dan rakan strategiknya atas penganjuran program ini serta kepada semua pembentang dan peserta dari dalam serta luar negeri.
"Semoga ia bermanfaat dan mampu memberi pencerahan mengenai Malaysia MADANI yang kita dukung hari ini,” katanya.- Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!