Keropok beracun: Ibu nafi anak bongsu meninggal dunia

Iklan
Nurain

GEORGE TOWN - Ibu kepada kanak-kanak lelaki yang kritikal selepas termakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim di Kedah pada Ahad lepas menafikan anak bongsunya meninggal dunia pada Khamis.

Nurain Hasnorizal, 25, berkata, anaknya Muhammad Luth Syauqi Nur Sufyan, 2, masih kritikal dan ketika ini dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Pulau Pinang (HPP).

Iklan
Iklan

"Keadaan adik (Muhammad Luth Syauqi) masih sama dan tiada sebarang perubahan, cuma saya terkejut apabila adik saya mesej (melalui aplikasi WhatsApp) tanya sama ada Luth meninggal dunia tadi (hari ini) kerana ada orang sebarkan kata adik telah tiada (meninggal dunia).

"Waktu itu saya ada di pekarangan HPP dan terus telefon doktor untuk tanya keadaan adik (Luth), doktor kata anak saya masih menerima rawatan dan keadaan masih sama (kritikal)," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Iklan

Media sebelum ini melaporkan anak sulung Nurain, Muhammad Akil Syauqi, 3, dan adiknya Muhammad Luth Syauqi berada dalam keadaan kritikal.

Namun Muhammad Akil Syauqi meninggal dunia jam 8.30 pagi semalam selepas 78 jam bertarung nyawa di PICU HPP.

Iklan

Nurain yang sedih dan kecewa dengan khabar angin itu meminta orang ramai berhenti menyebarkan berita itu dan memohon rakyat Malaysia mendoakan kesembuhan anak bongsunya.

"Sekarang ini saya kena kuat untuk Luth, saya dah masuk tengok dia di PICU tadi dan keadaannya masih sama (kritikal) serta tiada sebarang pergerakan, saya mohon doa semua untuk anak bongsu saya," katanya.

Media melaporkan dua kanak-kanak itu dipercayai mengambil peket makanan ringan yang digantung di dawai besi pagar kebun oleh seorang pemilik kebun yang dikatakan untuk memerangkap monyet. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!