KUALA TERENGGANU - Kerajaan perlu mempertimbangkan sekatan sementara terhadap kemasukan pelancong dari China, selain melakukan saringan kesihatan dengan lebih ketat.
Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, penularan wabak itu menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat kerana pelancong dari China dikecualikan daripada visa oleh kerajaan Malaysia.
"Sudah ada beberapa kes wabak koronavirus yang melibatkan pelancong asing dari China dan masalah ini akan bertambah buruk jika kerajaan tidak bertindak tegas dengan segera.
"Malangnya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan pengecualian visa 15 hari yang diperuntukkan kepada pelancong China akan diteruskan walaupun kerajaan sedia maklum tentang risiko penyebaran wabak ini.
"Jika kerajaan PH menggunakan alasan ia adalah kepentingan diplomatik antara Malaysia dan China, jadi apakah nyawa dan keselamatan rakyat Malaysia tidak penting?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Dr Najmil, tindakan kerajaan melonggarkan kemasukan pelancong China tanpa visa dilihat menimbulkan kemudaratan dari peringkat awal lagi iaitu membuka pintu masuk negara dengan pelbagai ancaman seperti penyakit, jenayah dan sebagainya.
Sedangkan katanya, Filipina telah pun menghantar pulang hampir 500 pelancong China yang tiba di Kalibo Aklan sebagai langkah menyekat penularan wabak koronavirus.
"Sudah tiba masanya kerajaan PH bertindak lebih tegas terhadap kemasukan pelancong dari China sebelum keadaan menjadi lebih teruk," katanya.