KES seorang pelawak dan isterinya yang ditahan bagi membantu siasatan, berkait isu penyebaran maklumat dalaman di aplikasi Telegram, berhubung Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Selangor membuka mata banyak pihak.
Ini memberi gambaran bahawa sebarang informasi tugas terutama berkaitan pihak lain, tidak boleh sewenang-wenangnya didedahkan kepada orang awam.
Selain kes pelawak dan isterinya itu, contoh kes lain yang mendapat liputan ramai ialah pendedahan data yang dikatakan berhubung kait kematian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, di media sosial.
Mungkin ada sesetengah pihak bersetuju dengan maklumat berkenaan didedahkan kerana menganggap ia sebagai satu berita yang perlu diketahui oleh masyarakat umum.
Hakikatnya, ia mengundang kepada kebocoran data kepada persekitaran yang tidak selamat.
Jika difikirkan sejenak, apakah yang terjadi sekiranya ada pihak menyebarkan maklumat peribadi kita kepada pihak ketiga?
Mengambil contoh kes lain, membabitkan penyebaran maklumat kewangan mahupun perbankan pengguna, pastinya timbul perasaan tidak puas hati apabila perkara itu diketahui umum.
Pada tujuh tahun lalu, negara digegarkan dengan isu kebocoran data peribadi membabitkan 56 juta pelanggan telefon mudah alih, dipercayai dilakukan ketika proses pemindahan data di sebuah syarikat.
Ketua Polis Negara pada ketika itu, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun tidak mendedahkan maklumat mengenai syarikat berkenaan.
Bagaimanapun, berdasarkan siasatan terdapat kakitangan di syarikat berkenaan didapati mengambil kesempatan dengan membocorkan data itu kepada pihak lain.
Ia sekali gus menyebabkan kes terbabit disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Biar apa pun alasannya, penyebaran data tanpa kebenaran boleh menjadi suatu kesalahan dan lebih teruk boleh diheret ke muka pengadilan.
Tahun lalu, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dalam proses meminda Akta Perlindungan Data Peribadi untuk meningkatkan kadar denda yang boleh dikenakan kepada pihak yang membocorkan data peribadi pengguna.
Selain itu, KKD juga sedang menggubal Akta Keselamatan Siber bagi menangani isu penipuan yang menjadi ancaman besar kepada rakyat.
Hukuman berat denda sehingga RM500,000 termasuk penjara tiga tahun akan dikenakan terhadap mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang membocorkan maklumat peribadi tanpa persetujuan.
Ia membabitkan Seksyen 130 Akta Perlindungan Peribadi 2010 yang mana, menjadi satu kesalahan apabila maklumat peribadi dibocorkan menerusi platform media sosial.
Mereka juga berdepan Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang membawa hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.
Sedangkan pihak media yang mengikuti prosiding kes di mahkamah juga tidak boleh mendedahkan pertuduhan secara terperinci biarpun ia dibaca terhadap seseorang tertuduh di mahkamah.
Ia hanya akan menjadikan pengamal media mengulangi kesalahan yang dilakukan antaranya kes mengeluarkan kenyataan berunsur jelik.
Wartawan juga terikat dengan etika untuk tidak mendedahkan maklumat mengenai nama dan wajah tertuduh terutama bagi kes juvana atau Akta Kanak-kanak 2001.
Apatah lagi bagi kesalahan seksual apabila mangsa dan tertuduh mempunyai pertalian darah.
Sekiranya seseorang kakitangan disyaki terlibat dalam penyebaran maklumat, tindakan tegas termasuk pergantungan tugas boleh diambil, baik di syarikat swasta mahupun Kerajaan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga boleh mengambil tindakan terhadap mereka yang menyalahgunakan media sosial.
Antara kesalahan yang sering dilakukan ialah mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, iaitu perbuatan berkongsi atau menyebarkan bahan lucah, jelik dan palsu.
* Noor Azlida Alimin ialah wartawan Sinar Harian