INI adalah pengalaman Merak Jalanan ketika di atas jalan raya.
Merak Jalanan tidak tahu apa yang orang lain hadapi. Mungkin sama atau mungkin juga berbeza.
Semenjak subsidi diesel ditarik dan harganya mengikut pasaran, Merak Jalanan perhatikan pemandu kenderaan pacuan empat roda yang menggunakan diesel tidak lagi memandu secara laju dan melulu.
Pemanduan mereka juga lebih berhemah tidak seperti sebelum ini yang mana Merak Jalanan perhatikan sering 'cucuk' kenderaan lain.
Dalam hati Merak Jalanan terdetik semua ini mungkin kesan sejak harga diesel menjadi mahal setelah subsidi ditarik.
Apa yang Merak Jalanan faham, pemanduan normal akan mengurangkan penggunaan bahan api manakala pemanduan secara agresif akan meningkatkan penggunaan bahan api.
Ada juga beberapa kawan Merak Jalanan yang terpaksa mengehadkan aktiviti mereka kerana terkesan dengan harga diesel tanpa subsidi.
Mereka mulai mengubah jadual kebiasaan bagi mengelakkan poket masing-masing makin menipis.
Ada yang dulunya setiap minggu berkonvoi ke sana ke sini, aktiviti khemah di tempat yang mencabar seperti meredah hutan - tidak lagi mampu berbuat demikian.
Tidak kurang juga yang telah bertukar kepada hobi lain yang tidak melibatkan diesel.
Dengan isu kos sara hidup yang meningkat dan membebankan, mereka cuba menyesuaikan diri dengan keadaan yang berlaku ketika ini.
Bagi yang ada lebih daripada satu kenderaan, enjin petrol akan menjadi keutamaan untuk bergerak ke sana sini.
Penggunaan kenderaan yang menggunakan diesel akan digunakan pada waktu yang betul-betul perlu sahaja.
Kata mereka, sebagai rakyat marhaen tiada upaya melainkan terpaksa akur dengan keputusan kerajaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!