BEIJING - Tatkala ibu-bapa lain menggunakan kaedah memberikan telefon bimbit untuk 'mendiamkan' anak mereka, seorang bapa di China mempunyai cara lain iaitu memberi anaknya mengupas kubis.
Video itu tular di media sosial di China dan ramai netizan terhibur dengan gelagat seorang kanak-kanak perempuan sedang leka bermain dengan sayur tersebut.
South China Morning Post melaporkan seorang bapa dari Kunming di wilayah Yunnan menaiki kereta api berkelajuan tinggi dan dia dilihat sedang terlelap seketika dalam pengangkutan awam itu.
Gelagat mereka mencuit hati penumpang lain bila mana segelintir daripadanya merakam video kanak-kanak itu yang dilihat sedang mengupas kubis sehelai demi sehelai dan meletakkan atas dulang makanan di depannya.
Sepanjang perjalanan dia dilihat sedang 'khusyuk' bermain-main dengan kubis tanpa mempedulikan penumpang lain yang memerhatinya.
"Kanak-kanak itu sangat lincah dan bertenaga. Untuk mengelakkan anaknya menganggu penumpang lain, bapanya membawa sebiji kubis demi mendiamkan kanak-kanak comel itu," kata seorang penumpang yang merakamkan gelagat mereka berdua.
Bagaimanapun destinasi sebenar perjalanan mereka tidak diketahui, tetapi sebelum turun dari kereta api, mereka dilihat mengutip semula kepingan kubis dan membuangnya dalam beg plastik kecil.
Tindakan kreatif lelaki tersebut mendapat respons positif dalam kalangan netizen di seluruh China di mana ramai memuji tindakannya tanpa memberikan sebarang gajet untuk mendiamkan anaknya.
"Jika kanak-kanak itu boleh mengupas selama sejam, ia menunjukkan dia mempunyai fokus yang kuat.
"Ramai kanak-kanak akan hilang minat dalam beberapa minit dan mula bermain dengan sesuatu yang lain tetapi dia berkemungkinan menjadi pelajar terbaik pada masa hadapan,” kata seorang pemerhati dalam talian. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!