SESI latihan jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi bakal memasuki fasa baharu yang lebih agresif berbaki 14 hari menjelang Sukan Olimpik 2024 di Paris yang akan membuka tirai pada 26 Julai ini.
Atlet yang berpangkalan di Universiti Auburn, Amerika Syarikat itu berkata, sesi tersebut termasuk melakukan analisis biomekanik selain menganalisis dan mengenal pasti kelemahan pada prestasinya.
Beliau berkata, perkara itu sudah dibincang bersama Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert J Ballard dan jurulatihnya, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah bagi meningkatkan tahap prestasinya.
"Fokus juga akan diberikan untuk memperbaiki permulaan larian dan menuju ke garisan penamat," katanya ketika ditemui media selepas menerima kunjungan Ketua Kontinjen Malaysia (CDM), Datuk Hamidin Mohd Amin di Bukit Jalil pada Khamis.
Atlet berusia 20 tahun itu yang layak atas tiket wild card tidak mahu terlalu menghormati lawan yang bergelar jagoan pecut dunia biarpun membuat penampilan sulung dalam acara 100 meter (m) di Paris.
Ini kerana kata atlet kelahiran Perak itu, semua pelari memiliki peluang sama rata dan ia bergantung pada prestasi ketika hari pertandingan.
"Saya sudah berlari di Kejohanan Dunia (Hungary) dan Sukan Asia (Hangzhou). Saya juga berlari dengan antara pelari terpantas dunia. Bagi saya pada tahap ini, semua ada peluang sama rata.
"Ia lebih kepada siapa yang boleh pamerkan prestasi terbaik pada hari pertandingan.
"Jadi, saya tidak letak sasaran untuk berlari dengan sesiapa pun kerana pergi ke Olimpik berlari menentang diri saya sendiri," katanya.
Azeem adalah pemegang rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09 saat ketika melakukannya di Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Dunia di Colombia pada Ogos 2022.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!