MARANG - Dataran Batu Putih, di sini makin popular apabila pengunjung sanggup datang dari jauh untuk menikmati keenakan lokan bakar.
Menurut seorang pengunjung, Nurain Mohd Ali, 30, lokan yang dijual di situ memiliki keistimewaan tersendiri kerana rasanya tidak hamis dan ramuan rempah yang digunakan.
"Saya sebenarnya terlihat video mengenai kawasan Dataran Batu Putih ini melalui media sosial, apabila sampai di sini, tak sangka pula ada banyak pilihan makanan.
"Paling saya suka lokan segar yang dibakar di salah sebuah gerai jualan di sini. Rasanya manis dan satu kotak tak cukup untuk saya seorang," katanya yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan.
Sementara itu, peniaga lokan bakar, Suzana Jusoh, 50, berkata, setiap hari dia akan menjual antara 400 hingga 500 lokan bakar dengan harga RM10 setiap sekotak.
Katanya, lokan segar yang diperoleh dari Sungai Marang di sini menjadi buruan peminat makanan eksotik yang datang berkunjung ke situ sejak ia dibuka pada 2019.
"Idea untuk jual lokan bakar ini dicetuskan oleh seorang individu yang berasal dari Sabah. Jadi, dari segi ramuan rempah untuk perapan lokan ini saya hasilkan sendiri.
"Waktu itu jumlah pengunjung yang datang ke sini akan bertambah dan kita akan dapatkan pekerja tambahan. Setakat ini kita ada seramai empat pekerja," katanya ketika ditemui pemberita, di sini baru-baru ini.
Ditanya mengenai bekalan lokan segar, Suzana berkata, setakat ini mereka tidak berdepan masalah kerana hidupan itu diperoleh secara terus dari habitatnya di Sungai Marang.
"Ada juga berlaku sekali kami kekurangan stok dan terpaksa mendapatkan bekalan dari peniaga lokan di Pengkalan Gelap, Setiu," ujarnya.
Dataran Batu Putih yang mula beroperasi sejak September 2019 merupakan destinasi pelancongan terkenal di daerah Marang berkonsepkan gerai jualan dengan pelbagai jenis makanan dan minuman tradisional berasaskan nira kelapa.
Lokasinya yang cantik dan unik di tepi Sungai Marang menggamit kunjungan pelancong dari dalam dan luar Terengganu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!