PUTRAJAYA - Seorang majikan lelaki diperintah untuk membuat pernyataan permohonan maaf selepas didapati melakukan gangguan seksual ke atas pekerjanya.
Tribunal Bagi Antigangguan Seksual (TAGS) yang bersidang mengarahkan lelaki itu sebagai responden membuat permohonan maaf dalam tempoh 60 hari dari tarikh pertama pendengaran, 23 Mei lalu.
Awards tersebut selaras dengan peruntukan di bawah seksyen 19(1) Akta Antigangguan Seksual 2022 [Akta 840].
"Justeru, TAGS memerintahkan responden untuk membuat pernyataan permohonan maaf sebagaimana yang telah dipohon oleh pengadu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Awards tersebut dikeluarkan TAGS yang bersidang di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Putrajaya bagi aduan pertama melibatkan gangguan seksual secara fizikal.
TAGS menyediakan satu saluran alternatif kepada mahkamah sivil untuk
mengendalikan aduan gangguan seksual dengan cepat, mudah dan kos yang minimum.
"Mangsa gangguan seksual diseru untuk tampil membuat aduan di kaunter tribunal bagi Antigangguan Seksual, KPWKM Putrajaya atau menghubungi Talian Kasih 15999 untuk sebarang pertanyaan," jelas TAGS.
Tribunal berkenaan ditubuhkan Oktober tahun lalu selepas Akta Anti Gangguan Seksual 2022 (Akta 840) dikuatkuasakan secara berperingkat mulai 28 Mac 2023.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!